Bapa strok terlantar, ibu alami masalah kaki

Nurhidayah (dua dari kanan) dan Mohamad Nazrul menguruskan kedua-dua ibu bapa mereka yang mengalami masalah kesihatan.
Nurhidayah (dua dari kanan) dan Mohamad Nazrul menguruskan kedua-dua ibu bapa mereka yang mengalami masalah kesihatan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dua beradik yang mengalami masalah penglihatan sejak kecil hidup serba kekurangan apabila bapa mereka terlantar akibat strok empat tahun lalu, manakala ibu mereka pula mengalami masalah fizikal kedua-dua kaki sejak dilahirkan.

Nurhidayah Mohd Aswad Siah, 33, dan adik lelakinya, Mohamad Nazrul Naim, 19, bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan kedua-dua ibu bapa mereka yang mengalami masalah kesihatan.

Nurhidayah berkata, bapanya, Mohd Aswad Siah Abdullah, 64, terlantar akibat strok pada bahagian badan kanan disahkan doktor menghidap kencing manis dan darah tinggi.

"Ayah mula diserang strok kali pertama pada Mac 2016 dan strok kedua dua tahun lalu hingga dia (Mohd Aswad) tidak mampu menguruskan keperluan hariannya sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Nurhidayah berkata, bapanya itu kini bergantung kepada susu khas selain lampin pakai buang yang menelan belanja lebih RM400 sebulan.

Katanya, bapanya yang juga pesara kerajaan menerima wang pencen RM1, 700 sebulan dan wang orang kurang upaya (OKU) terlantar RM350 sebulan, namun jumlah itu masih belum mencukupi menampung segala keperluan keluarga.

Katanya, ibunya, Salmah Mat Il, 59, yang menghidap penyakit darah tinggi hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa dan memegang kad OKU fizikal yang menerima elaun RM250 sebulan.

"Walaupun dalam keadaan kudrat ibu yang serba kekurangan, namun dialah yang banyak menguruskan ayah, memandikannya, memberi makan dan menukar lampin pakai buang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, seorang adiknya, Nurul Syafiqah, 21, yang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau sejak setahun lalu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM2, 000 sebulan.

"Kami buntu kerana keperluan adik juga penting untuk memastikan dia berjaya dalam pelajaran dan merubah nasib kami sekeluarga.

"Perbelanjaan adik merangkumi kos membeli buku, makan dan minum di universiti serta tambang pengangkutan," katanya.

Katanya, lebih menyukarkan apabila mereka sekeluarga yang menetap di QRTS Projek Barat Laut Kuala Selangor terpaksa mengosongkan kediaman dihuni selepas bapanya bersara dalam sektor kerajaan.

"Kami tinggal di kuarters ini sejak kecil lagi dengan sewa hanya RM30 sebulan sahaja, tetapi kami diarahkan mencari kediaman lain dalam waktu terdekat ini.

"Saya telah mencari rumah sewa lain, tapi wang pendahuluan terlalu tinggi di samping sewa bulanan mencecah sehingga RM650 sebulan.

"Kami tidak mampu membayar sewa rumah terlalu tinggi disebabkan masalah tersebut," katanya.

Katanya, dia yang memperoleh elaun OKU bekerja RM400 sebulan pula bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.

"Adik bongsu (Mohamad Nazrul) masih mencari pekerjaan sesuai dan berdekatan bagi memudahkannya berulang-alik ke rumah akibat masalah penglihatan dialami," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 012-4021056 atau menyalurkan bantuan pada nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (1014229846023588) atas nama Nurhidayah Mohd Aswad Siah.