Hamil sejam sebelum lahirkan bayi

Heni memangku anak ketiganya yang dilahirkan secara tiba-tiba pada Sabtu lalu. - Foto: Agensi
Heni memangku anak ketiganya yang dilahirkan secara tiba-tiba pada Sabtu lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

TASIKMALAYA - Kisah seorang wanita di Jawa Barat, Indonesia heboh diperkatakan di media sosial selepas dia mendakwa hamil selama sejam sebelum melahirkan bayi lelaki sihat.

Bayi dinamakan Lingga Cipta Radeva seberat 3.4 kilogram itu dilahirkan Heni Nuraeni, 28, dari Desa Mandalasari, Kecamatan Puspahiang, kabupaten Tasikmalaya pada Sabtu lalu.

Wanita yang mempunyai anak berusia 10 tahun dan 19 bulan itu mendakwa dia tidak menyedari dirinya hamil sepanjang sembilan bulan lalu, malah dia sedang mengalami menstruasi sebelum proses kelahiran terbabit.

Kisah luar biasa itu turut dikongsi oleh pengguna Taufik Romdoni di Facebook.

“Inilah tanda kebesaran ALLAH SWT. ALLAH telah menganugerahkan seorang bayi lelaki kepada sepasang suami isteri dengan proses kehamilan hanya selama 60 minit. Bahkan ia dilahirkan dalam keadaan menstruasi. Semoga menjadi anak yang soleh dan beriman. Amin," menurut Taufik pada kapsyen video ibu dan bayi terbabit.

Sementara itu, Heni juga berkongsi cerita tentang detik kelahiran anak ketiganya itu.

"Saya mengalami sakit perut pada bahagian kanan. Ia mengeras dan berlaku gerakan secara tidak teratur. Perut saya rasa seperti memulas selang sejam kemudian. Ibu bapa saya segera memanggil bidan sebelum melahirkan bayi tersebut secara normal," katanya.

Jelas Heni, dia tidak mengalami pertambahan berat badan dan kitaran haidnya juga teratur sepanjang tempoh sembilan bulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam dunia perubatan, keadaan wanita yang tidak menyedari dirinya hamil digelar sebagai kehamilan kriptik yang disebabkan oleh kadar hormon gonadotrofin korion manusia (hCG) yang rendah dalam darah.

Ia dikatakan berlaku satu dalam ratusan kehamilan. - Agensi