Bersatu Johor akur keputusan kepimpinan tertinggi

Mazlan (tengah) dan Fat Full selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jom! Cegah Covid-19 di Taman Mount Austin, hari ini.
Mazlan (tengah) dan Fat Full selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jom! Cegah Covid-19 di Taman Mount Austin, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akur dengan sebarang keputusan kepimpinan tertinggi parti sama ada mahu mengekalkan jawatan Pengerusi Bersatu atau sebaliknya.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, jawatan Pengerusi mempunyai kesannya sendiri sama ada baik atau buruk kepada parti.

"Ini terpulang (kepada pucuk pimpinan parti), bagi saya ini ada baik dan ada tak baik. Baiknya kalau pendapat sama (antara Pengerusi dan Presiden parti) ini tidak akan ada masalah.

"Kalau berlainan pendapat ini akan timbul konflik. Jadi kita di peringkat negeri akur sebarang keputusan (Bersatu) di peringkat Persekutuan," katanya.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jom! Cegah Covid-19 di tempat letak kereta, Taman Mount Austin di sini hari ini.

Turut hadir Exco Perpaduan, Perdagangan dan Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full serta Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Dr Kevy Kv Yeo.

Mazlan mengulas desas-desus kemungkinan perwakilan mengemukakan usul bagi membuang jawatan Pengerusi daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu itu pada September ini.

Jawatan Pengerusi sebelum ini disandang Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau mengundur diri dan meletak jawatan pada 24 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu memangku jawatan Pengerusi sehingga selesai pemilihan MPT yang baharu pada 22 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, perkara tersebut akan dibuat melalui usul daripada perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang belum ditentukan tarikhnya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak boleh diputuskan begitu sahaja sebaliknya harus melibatkan pindaan Perlembagaan dalam perhimpunan agung berkenaan bagi mendapatkan kelulusan.

"Setakat ini belum ada mesyuarat agung lagi.

"Kita baru ada mesyuarat perwakilan di peringkat cawangan dan peringkat bahagian akan diadakan pada Ogos ini," katanya.