Fenomena Bossku, Najib si Raja ‘Troll’. Berkesankah?

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak popular dengan troll
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak popular dengan troll
A
A
A

[DIKEMASKINI] SEBELUM ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad cuba melakukan troll seperti Datuk Seri Najib Razak dengan menyindir bekas Perdana Menteri itu sebagai tauke 1MDB. Selain itu, Khalid turut membahan Najib dengan baju melayu oren yang dipakainya ibarat warna baju banduan Penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun, netizen berpendapat troll Khalid tidak se‘umphh’ troll Najib. Tidak kurang yang mengatakan tweetnya hambar. Malah ada yang merasakan ia melangkaui kuasa mahkamah dengan menjatuhkan hukuman lebih awal atas kes yang sedang dibicarakan.

Umum mengetahui apa yang melingkari hidup Najib selepas kejatuhannya pada PRU14, 9 Mei tahun lalu. Betisnya mungkin sengal akibat banyak turun naik tangga mahkamah. Sehingga rakyat hilang perkiraan berapa pertuduhan dikenakan ke atasnya. Mari kita kira.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas Perdana Menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Berapa semuanya? Paling tidak 32 pertuduhan. Entahlah, mungkin ada yang terlepas pandang atau tersilap kira. Sebegitu banyak pertuduhan yang Najib hadapi, cukuplah satu jika ada yang sangkut.

1MDB telah menjadi ‘khutbah’ dan ‘zikir’ saban hari yang dikaitkan dengan Najib. Sehingga ia menjadi ‘hafazan’ rakyat. Jika dimasukkan dalam silibus mata pelajaran Sejarah sekalipun, seperti yang disebut Menteri Pendidikan dalam Dewan Rakyat sebelum ini, Dr Mazlee Malik tak perlu risau. Data dan nombor sehingga enam titik perpuluhan dalam kes itu juga bakal tersisip kemas dalam minda pelajar. Pelajar hampir pasti lulus cemerlang, setidaknya dalam soalan yang melibatkan syarikat itu, dek terlampau banyak ‘ulang kaji’ yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

Penampilan Najib kini lebih bersahaja
Penampilan Najib kini lebih bersahaja

Belum lagi disebut kes-kes rakan seperjuangan Najib dalam BN atau Umno. Tak termasuk dengan apa yang terpalit kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Tidak perlu ditambah, kelak artikel ini berubah menjadi novel.

Kalau dahulu lampu sorot sentiasa menyinari wajahnya sebagai Perdana Menteri, kini Najib lebih terkenal dalam kandang pertuduhan. Malah lebih popular dari sebelum ini. Dari hanya pemimpin tempatan, beliau mencipta nama sebagai bintang antarabangsa, asbab kes berprofil tinggi yang dikaitkan terhadapnya. Hidup Najib nampak hampir pasti musnah.

Namun, tiada siapa sangka, Najib belum melempar kain putih ke tengah gelanggang. Pada saat Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang ‘berehat’, senyap sunyi, membisu pilu berlagu sendu, penggalas tugasnya, Datuk Seri Mohammad Hasan juga dilihat layu bak daun semalu, Najib bingkas melawan walaupun keseorangan.

Pahlawan Bugis sudah menemui pentas sesuai untuk menari dan mengatur langkah. Dari Perdana Menteri, menjadi keyboard warrior. Atau lebih tepat, Pahlawan Papan Kekunci Bugis. Najib kini menempa nama sebagai Raja Troll, membangkang kerajaan dengan satira halus tetapi padu melalui laman sosial.

Satu demi satu postingnya mencuri perhatian netizen. Dengan gaya bahasa yang lebih rakyat, diselit dengan sindiran berlapik fakta, Najib terus konsisten ‘menyinkang’ (menyindir sambil membangkang).

‘Kona baring’ dan ‘U-turn’ merupakan troll yang pernah diguna pakai oleh Najib sebagai menyifatkan tindakan kerajaan yang terburu-buru membuat keputusan sehingga seringkali terpaksa mengubah kenyataan atau berbeza pendapat.

Di musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini, troll Najib dilihat semakin menjadi-jadi. Usaha Najib mencari kaunter duit minyak PH cukup menyentap.

Ditambah dengan misi mencari strawberi, kisah troll Najib terus mencuit hati. Selain itu Najib turut melahirkan kekaguman terhadap kenderaan pacuan empat roda yang digunakan PH dalam kempen di tanah tinggi itu. Paling win merupakan tragedi rasukan syaitan terhadap Chef Wan (ini bukan troll) yang kemudiannya mahu menampar Ahli Parlimen Pekan itu.

Imej Najib di laman sosial telah berubah 360°. Dari posting bosan 1Malaysia ibarat ditulis oleh kerani kerajaan, kini ia lebih sinis tetapi berjiwa. Beliau turut akui, trollnya demi mengangkat isu rakyat dan banyak pertanyaannya kepada menteri PH tidak berjawab.

Pengalaman 2 penggal bersamaan 9 tahun sebagai Perdana Menteri sebelum ini memberi kelebihan kepadanya. Sudah pasti banyak selok-belok urusan kerajaan diketahuinya. Kelebihan itu digunakan dalam menghentam menteri ketika ini. Atau mungkin menteri sendiri keliru, sama ada Najib sedang bertanya atau sekadar troll.

Namun perubahan imej Najib tidak sekadar di alam maya. Imej luarannya juga telah melalui transformasi besar-besaran. Walaupun sebahagian dapat mengagak, usaha itu masih political stunt. Kini popular dengan jolokan ‘Bossku’ dalam kalangan netizen, Najib terus merendahkan diri dengan lebih menyelami kehidupan rakyat, suatu tindakan bijak yang patut dilakukan sejak dahulu.

Pergaulannya dengan masyarakat lebih mesra. Berpeluk sakan sana-sini dengan rakyat, bukannya menari. Pakaiannya turut lebih rakyat. Tiada lagi kemeja formal, hanya t-shirt dengan muka sendiri tercetak di bahagian depan. Melepak dengan mat motor Ysuku walaupun sekadar tahu membonceng. Tona suara ketika temu ramah dengan wartawan juga sedikit berubah dengan nada yang lebih cool dan tidak berdegar-degar seperti di atas pentas politik.

Dengan perubahan sebegitu, Najib telah diterima baik di media sosial. Tetapi apakah beliau berani untuk tampil di media arus perdana ketika ini? Adakah beliau mahu sekiranya mendapat jemputan dari TV Alhijrah, ‘digril dan disalai’ dengan soalan-soalan panas di atas pentas program Sila Duduk Jangan Lari? Mahukah beliau? Atau Najib risau tragedi Al Jazeera berulang kembali apabila Najib ‘tak senang duduk dan bangun lari’ dari soalan Mary Ann Jolley? Di sini dapat dibuktikan semangat dan maruah pendekar Bugis dapat ditebus semula. Berani tampil di TV Alhijrah bakal melengkapkan transformasi imej Najib. Malu apa bossku?

Umum dapat mengagak, kemungkinan wujud satu pasukan di sebalik transformasi imej Najib. Mungkin juga wujud admin media sosial Najib Razak yang sangat kreatif dan muda yang mampu menghasilkan troll tahap tinggi. Atau cybertroopers yang berjaya mengangkat Najib di alam maya.

Bagaimanapun, Najib menafikan ketika ini beliau mempunyai cybertroopers. Jelas beliau, askar-askar itu ketika pemerintahan lepas tidak lagi berguna dan hanya menghabiskan beras.

Apapun cerita di sebaliknya, apabila Raja Troll ‘bertitah’, ianya diterima rakyat jelata. Paling tidak di media sosial. Dan kemudian dipetik pula media arus perdana menjadikan troll Najib berkembang luas melata di serata Malaysia. Ia diterima kerana sangat dekat dengan hati rakyat.

Najib bangun dan meninggalkan temu ramah Al Jazeera
Najib bangun dan meninggalkan temu ramah Al Jazeera

Sehinggakan terkala dilupa tag nama KLEPTOKRAT yang tersisip di atas kocek kemejanya, yang kini jarang sekali dipakai dalam majlis-majlis dihadirinya.

Mungkin akibat terlupa jugalah, ada yang berakal lobak mahu Najib menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Satu tugas besar yang disepikan Zahid dan Tok Mat. Tinggallah Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang serius melakukan kerja-kerja membangkang.

Kerajaan terus diperhatikan dari setiap ceruk. Setiap kesilapan akan memberi kesan kepada markah prestasi keseluruhan kerajaan. Dan kesilapan itu akan ‘dilipat’ semahu mungkin oleh pembangkang terutamanya Umno bagi menunjukkan kelemahan kerajaan.

Walaupun ketika ini Umno dilihat seperti hidup segan mati tak mahu, namun dengan prestasi Najib di laman sosial, dibantu pula KJ dan Datuk Seri Ahmad Maslan yang berani membangkang, bukan melompat; ditambah lagi dengan kekurangan pengalaman mamanda menteri, Umno setidaknya mampu menggoyahkan tiang kerajaan.

Adakah Umno/BN ada peluang untuk merampas semula kerajaan pada PRU akan datang? Hampir mustahil. Paling tidak, 3 penggal; lebih kurang 15 tahun lagi kalaupun Umno mahu mencabar semula, dengan syarat ada perubahan baik ditunjukkan.

Buat masa ini Umno tidaklah mampu menukar kerajaan seawal PRU15, tetapi petanda awal itu boleh dibaca pada PRK terdekat ini di Cameron Highlands. Walaupun kerusi itu secara tradisinya milik BN, tetapi jumlah majoriti dapat dilihat sebagai tanda protes atau sokongan rakyat.

Ini bukan semata kisah politik, tetapi survival hidup rakyat. Rakyat memerlukan pembangkang yang kuat (atau sinis dalam kes Najib ini). Perlunya pembangkang menjadi penimbang tara kerajaan supaya nasib rakyat terus terbela.

Dalam masa sama, ruang dan peluang perlu diberikan kepada kerajaan untuk membuktikan adanya perubahan lebih baik. Janganlah dek sibuk troll sehingga ia menjadi gurauan melampau dan bertujuan memalukan pemimpin tanpa memikirkan natijahnya. Akhirnya rakyat terus terkapai-kapai. Gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit.

Cuma, hanya satu kerisauan. Apakah peranan Najib sebagai Raja Troll semakin berkesan dan diterima rakyat? Atau rakyat Malaysia dan Melayu sendiri terus dengan sikap tipikal; dengki dan tidak senang dengan sesiapapun yang berada di atas memegang tampuk pimpinan?

* Syafiq Azman, penulis merupakan wartawan TV Alhijrah yang kurang pengalaman dalam bidang politik dan kerjanya mengutip SOT menteri. Menulis berdasarkan kaca mata pelanduk yang hampir tersepit