SSPN dijamin kerajaan dan patuh syariah

Wan Saiful (duduk, kiri) dan Nor Aswana (duduk, dua dari kiri) bersama anak-anak PKAYPs yang akan menerima manfaat daripada sumbangan wakalah zakat PTPTN hari ini.
.
Wan Saiful (duduk, kiri) dan Nor Aswana (duduk, dua dari kiri) bersama anak-anak PKAYPs yang akan menerima manfaat daripada sumbangan wakalah zakat PTPTN hari ini. .
A
A
A

PERLIS - Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mempunyai pelbagai keistimewaan seperti simpanan dijamin oleh kerajaan dan patuh syariah.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, kadar dividen yang diberikan juga kompetitif berbanding simpanan di institusi kewangan lain.

"Lebih istimewa, skim ini merupakan satu-satunya pelan simpanan yang diberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun kepada ibu bapa yang membuat simpanan.

"Melalui SSPN-i juga, perlindungan takaful secara percuma untuk pendeposit turut disediakan apabila simpanan telah mencecah RM1,000.

"Selain itu, Geran Sepadan diberikan kepada pendeposit berpendapatan bulanan keluarga tidak melebihi RM4,000 sekiranya anak diterima dan mendaftar masuk ke mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Wakalah Zakat PTPTN Kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYPs) di Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah, Kangar di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua PKAYPs, Datin Seri Nor Aswana Omar serta Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Perlis (BAIDUNITA) turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang terlibat.

Wan Saiful berkata, jumlah Geran Sepadan sebanyak RM10,000 tertakluk kepada jumlah simpanan dan tempoh simpanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, PTPTN sebelum ini telah melancarkan Cabutan WOW! SSPN-i Plus di mana pendeposit SSPN-i Plus berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai RM1 juta.

Katanya, hadiah utama yang ditawarkan bagi Cabutan Tahunan berupa kereta Mercedes Benz C200 FL AMG Line, tempat kedua RM50,000, tempat ketiga RM30,000 dan saguhati RM500 untuk 1,000 pemenang, manakala Cabutan Bulanan pula yang bermula Julai hingga Disember 2020 menyediakan hadiah RM2,020 untuk setiap pemenang bagi 20 pemenang setiap bulan.

"Menjadi hasrat dan harapan PTPTN agar SSPN terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia bagi membuat perancangan kewangan untuk pendidikan anak-anak," katanya.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai sumbangan wakalah zakat yang disampaikan Wan Saiful berkata, PTPTN dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersetuju untuk memberikan sumbangan wakalah zakat PTPTN sebanyak RM13,400 kepada PKAYPs untuk pembelian peralatan seperti katil, almari, tilam serta mesin basuh untuk kegunaan anak-anak yatim.

Katanya, rumah kebajikan itu dihuni seramai 36 orang anak yatim yang terdiri daripada 10 lelaki dan 26 perempuan menghuni.

"Mereka ini juga terdiri dari 13 murid sekolah rendah dan 23 pelajar sekolah menengah.

"PTPTN amat prihatin dan mengambil berat bagi memastikan anak-anak yatim dapat tinggal dan belajar dalam persekitaran yang kondusif serta berjaya pada masa hadapan," katanya.