YDP Yadim baharu mulakan tugas secara rasmi

Nasrudin ketika berucap meminta kakitangannya memberi kerjasama erat untuk menjayakan misi dakwah YADIM. -Foto Ihsan AMIRA SYAMIMI AZMAN
Nasrudin ketika berucap meminta kakitangannya memberi kerjasama erat untuk menjayakan misi dakwah YADIM. -Foto Ihsan AMIRA SYAMIMI AZMAN
A
A
A

PUTRAJAYA – Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baharu, Ustaz Nasrudin Hassan memulakan tugas beliau secara rasmi hari ini.

Beliau tiba di ibu pejabat Yadim di sini pada jam 11 pagi selepas menghadiri Mesyuarat Pasca Kabinet bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di Kuala Lumpur.

YADIM dalam kenyataannya berkata, ketibaan Nasrudin disambut oleh pengarah-pengarah kanan Yadim sebelum beliau dibawa ke bilik latihan untuk majlis sambutan rasmi.

Nasrudin ketika berucap berkata, tanggungjawab yang dipikul sebagai peneraju sebuah badan dakwah utama di negara ini amat berat.

"Justeru kerjasama erat antara kakitangan amat diperlukan untuk menjayakan misi dakwah Yadim.

"Usaha dakwah sentiasa memerlukan perubahan dan penambahbaikan sejajar dengan keadaan semasa yang sentiasa berubah," katanya.

Berikutan itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas usaha dan pencapaian yang telah dicapai oleh kepimpinan Yadim terdahulu.

Terdahulu, ketika memulakan acara, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh mengalu-alukan kedatangan dan pelantikan Nasrudin itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kakitangan Yadim bersedia melaksanakan gerak kerja dakwah di bawah kepimpinan Yang Dipertua mereka yang baharu.

Nasrudin dilantik sebagai YDP Yadim ke-14 berkuatkuasa 16 Julai lalu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz yang melepaskan jawatan itu sehari sebelum pelantikan baharu itu.

Nasrudin menadah tangan mengaminkan doa pada majlis sambutan sempena hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi hari ini. -Foto Ihsan AMIRA SYAMIMI AZMAN
Nasrudin menadah tangan mengaminkan doa pada majlis sambutan sempena hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi hari ini. -Foto Ihsan AMIRA SYAMIMI AZMAN

Nik Omar meletakkan jawatannya lima bulan lebih awal daripada kontraknya yang sepatutnya berakhir Disember depan.

Dalam kenyataan berasingan, YADIM berkata, pelantikan Nasrudin itu selaras dengan perkara 8(C) Surat Ikatan Amanah Yadim yang menjadi asas perlembagaan yayasan itu.

Menurutnya, Nasrudin yang dilahirkan pada 24 November 1970 di Besut, Terengganu merupakan lulusan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir dari Fakulti Usuluddin Syu’bah Hadis.

Katanya, selain daripada Universiti Al-Azhar, Nasrudin juga telah melalui pelbagai peringkat pengajian di dalam dan luar negara termasuk di Maktab Ittibai’s Sunnah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Madrasah ad-Diniah al-Bakriah, Pasir Tumboh, Kelantan Darul Naim; Masjidil Haram Makkah Al-Mukarramah dan Maahad Fathul Islami, Damascus, Syria.

"Selain mempunyai latar belakang pendidikan yang luas, beliau turut mempunyai pengalaman dalam bidang dakwah, sosial, kebajikan dan gerakan Islam yang pelbagai di dalam dan luar negara.

"Beliau sering diundang menyampaikan kuliah, membentang kertas kerja dan telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya Pra-Syarat Kemenangan Islam, Fiqh Keluarga Syurgawi, 40 Hadis Perjuangan dan Memburu Redha Allah.

"Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi Parlimen Temerloh sebelum ini.

"Yadim optimis bahawa pelantikan ini akan menambah dinamisme gerakan dakwah yang dipelopori oleh Yadim di negara ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, YADIM yakin hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk melihat martabat Islam diperkasakan melalui aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan akan dapat direalisasikan dengan sokongan segenap lapisan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya, pada masa yang sama, YADIM turut merakamkan penghargaan kepada Nik Omar atas sumbangan yang telah diberikan sepanjang berkhidmat sebagai YDP Yadim yang ke-13.