Bersatu Johor serah pada Lembaga Disiplin parti

Mazlan Bujang
Mazlan Bujang
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti berkenaan kedudukan Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Dr Shahruddin Salleh yang dipecat keahliannya.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, Lembaga Disiplin akan memutuskan status sebenar Shahruddin mengikut perlembagaan parti.

"Setakat ini saya belum terima sebarang surat (daripada Bersatu di peringkat Pusat). Keputusan kedudukan Shahruddin, kita di peringkat negeri tiada kuasa untuk mengambil tindakan.

"Perkara ini mungkin akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Bersatu esok. Bersatu Johor akan akur dengan keputusan Lembaga Disiplin parti," katanya pada sidang akhbar di sini.

Mazlan mengulas pemecatan Shahruddin yang juga Ahli Parlimen Sri Gading daripada keahlian Bersatu dan perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin dalam kenyataan media.

Pemecatan tersebut kerana kedudukan kerusi Shahruddin yang tidak bersama blok kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin merangkap Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu.

Pada 28 Mei lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah dipecat keahlian daripada parti itu.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Sharuddin 'masih' lagi ahli parti sehingga beliau diputuskan benar-benar bersalah menerusi Lembaga Disiplin yang bertindak sebagai sebuah badan bebas.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ada kes seperti ini biasanya akan ada siasatan. Mereka akan bersidang untuk membuat keputusan dan (hasil mesyuarat) akan dibawa pada Majlis kepimpinan Tertinggi parti tindakan lanjut," katanya.