Kelantan akan hentikan pembalakan jika...

amar
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri akan menghentikan aktiviti pembalakan sekiranya bayaran royalti minyak disalurkan kepada Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sekiranya Kerajaan Pusat betul-betul menjaga kebajikan Orang Asli, mereka perlu menyegerakan bayaran royalti minyak untuk Kelantan.

Ini kerana katanya, ia antara punca aktiviti pembalakan diteruskan di negeri ini bagi menampung hasil negeri yang terhad.

“Hasil balak yang diperoleh dianggarkan sebanyak RM100 juta hingga RM150 juta setahun, manakala royalti minyak yang dijanjikan sebelum ini, lebih kurang RM700 juta setahun.

“Kalau dapat royalti kita mungkin akan batalkan pembalakan kerana royalti sendiri dah boleh menampung hasil yang diperlukan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan Hari Murabbi Ummah, tadi.

Mohd Amar berkata, sebanyak 11,331 hektar tanah di negeri ini yang dikhaskan untuk Orang Asli.

Walaupun ia tidak dijadikan tanah adat namun beliau berkata, seluas 4,856 hektar hutan simpan khas dijadikan sebagai kawasan penempatan dan penanaman untuk Orang Asli.

Malah katanya, kerajaan negeri tidak memberi pelepasan atau kebenaran kepada mana-mana pihak untuk melakukan pembalakan di dua kawasan berkenaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia