KBS fokus pendidikan, kerjaya atlet

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneruskan inisiatif menyediakan perkhidmatan nasihat kerjaya, pendidikan, pengurusan kewangan dan kaunseling menerusi pusat atlet.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bagi tahun ini, seramai 210 atlet menerima manfaat tersebut di pusat atlet di Bukit Jalil sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Menurutnya, dalam aspek pendidikan, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) yang menjadi tunjang kepada penubuhan pusat sehenti itu sedang dan akan melaksanakan beberapa perkara berkaitan.

“Pertama, mengadakan kerjasama dengan lapan institut pengajian tinggi (IPT) dan dua institusi kemahiran melalui program pengajian atlet seperti peluang biasiswa dan customized programme.

“Melalui program One State; One University; One Centre (1S101C), seramai 97 atlet telah menerima tawaran pendidikan di 14 cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan tiga IPT awam dan swasta.

“Program kolaboratif IPT dan Majlis Sukan Negeri bagi menyediakan peluang kepada atlet melanjutkan pengajian ke menara gading tanpa mengorbankan karier sukan,” katanya di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan lisan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) mengenai status pusat atlet di Bukit Jalil dan perancangan memberi sokongan kepada atlet dalam bidang pendidikan serta pekerjaan.

Menurut Reezal, selain pendidikan, laluan kerjaya bagi atlet yang bersara turut diberikan tumpuan melalui Athlete Track Programme dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan agensi kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak 16 organisasi atau syarikat yang sedia membantu memberi peluang pekerjaan secara sambilan atau sepenuh masa.

“Elemen keusahawanan, ekonomi gig dan ekonomi digital boleh menjadi ikhtiar baru untuk membantu atlet dan bekas atlet.

“Melalui inisiatif kolaboratif rentas kementerian, KBS sedang merangka sinergi bersama beberapa kementerian dan agensi antaranya Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia khusus bagi mewujudkan Program Sportspreneurship kepada atlet membuka peluang kerjaya terutama dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut akan meneroka ruang dan peluang perniagaan kepada atlet yang bakal bersara dengan menyediakan kemahiran asas, perancangan dan akses kepada dana kewangan untuk memulakan perniagaan.