Ahli tolak penyertaan Tun M sertai Warisan

Parti Warisan Sabah
Parti Warisan Sabah
A
A
A

KOTA KINABALU - Cadangan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan dijadikan parti di peringkat nasional sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi ahlinya tidak pernah dibincangkan oleh pemimpin parti itu.

Menurut laporan FMT, seorang ahli kanan parti itu yang enggan dikenali berkata, cadangan membuka pintu kepada bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga akan menyebabkan parti berkenaan menyimpang daripada perjuangannya untuk rakyat Sabah.

“Secara terus terang, itu hanya rancangan, belum ada keputusan dibuat.

“Warisan ialah parti berpangkalan di Sabah dan perjuangannya untuk penduduk negeri itu. Jika parti itu diluaskan ke peringkat nasional bermakna Warisan perlu merombak perjuangannya,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat Sabah menyokong Warisan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu kerana parti itu ditubuhkan atas dasar orang Sabah untuk Sabah.

"Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri meminta rakyatnya memutuskan apa yang mereka boleh lakukan untuk Sabah, bukan apa yang dapat dilakukan (kerajaan) Sabah untuk mereka," katanya.

Semalam, Pengerusi Tetapnya, Datuk Liew Vui Keong berkata, penyertaan bekas Perdana Menteri itu dalam Warisan berkemungkinan boleh berlaku.

Bagaimanapun katanya, jika perkara itu berlaku, perlembagaan parti tersebut perlu diubah terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Hanya Presiden boleh memutuskan sama ada parti itu perlu menjadi parti nasional dan hanya Setiausaha Agung, Loretto Padua dapat memberikan jawapan berhubung keahliannya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Warisan sedia pertimbang Tun M sertai parti

Seorang lagi ahli kanan Warisan yang enggan dikenali berkata, kemasukan Dr Mahathir ke dalam parti itu bukan idea yang baik kerana Ahli Parlimen Langkawi itu didakwa mendalangi Projek IC, iaitu program kewarganegaraan bagi warga asing mengundi pada 1990-an bertujuan membolehkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya di Sabah dan kekal berkuasa.

“Beliau ialah individu yang baik untuk bekerjasama tetapi bukan seseorang yang perlu berada dalam pasukan.

“Perlu ada jurang antara beliau dan Warisan,” katanya.