Peranan sektor awam, swasta akan diteliti semula

Mustapa ketika berucap pada majlis 'Invest Malaysia 2020' Siri 2 di Kuala Lumpur semalam.
Mustapa ketika berucap pada majlis 'Invest Malaysia 2020' Siri 2 di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peranan sektor awam dan swasta tertentu akan diteliti semula di bawah pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana hingga jangka panjang bagi menerajui perkembangan Malaysia dalam bergerak ke hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pelan ekonomi yang dijangka dibentangkan pada Oktober, akan menyediakan garis panduan untuk pertumbuhan jangka panjang dan kemampanan ekonomi negara.

Pelan pemulihan jangka sederhana hingga jangka panjang itu akan menangani sejumlah langkah pembaharuan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melihat masa depan tenaga kerja, pasaran tenaga kerja, pelaburan berkualiti serta ekonomi digital sebagai sebahagian daripada proses pembaharuan itu.

Menurutnya, selain daripada pelan berkenaan, kerajaan dijangka membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada suku pertama 2021.

“Dokumen-dokumen ini sudah pastinya akan dilihat dengan teliti oleh sektor swasta,” katanya ketika berucap pada majlis 'Invest Malaysia 2020' Siri 2 di sini semalam.

Untuk lebih menekankan kerjasama awam-swasta sebagai pemangkin bagi pembaharuan sektor secara lebih meluas dan penyertaan sektor awam yang lebih besar, kerajaan di bawah RMK10 dan RMK11 telah menubuhkan Dana Pemudah bernilai RM20 bilion bagi merancakkan pelaburan persendirian di kawasan-kawasan strategik dalam negara.

Daripada RM20 bilion yang diperuntukkan, RM5 bilion ialah untuk pemilikan tanah manakala selebih RM15 bilion akan bertindak sebagai 'tipping point' bagi membantu sektor swasta membiayai projek.

Artikel Berkaitan:

"Ia bertujuan merapatkan jurang daya maju sektor persendirian berkaitan projek yang mempunyai impak strategik dan yang mempunyai kesan limpahan ekonomi yang besar.

"Setakat ini, 320 projek Dana Pemudah bernilai RM14.23 bilion telah diluluskan," kata Mustapa sambil menambah projek-projek itu telah mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai sehingga RM232.47 bilion. - Bernama