X

Kindly register in order to view this article
!

Kes baharu Covid-19 melonjak 21 kes

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 terus melonjak kepada 21 kes, tertinggi sejak awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu sebanyak 15 kes membabitkan penularan dalam negara.

"Seramai 13 daripadanya ialah rakyat tempatan," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, seramai 12 individu daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang, Johor disahkan positif wabak itu.

"Kluster ini dikesan apabila kes indeks dilaporkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Enchee' Besar Hajjah Khalsom semalam," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati 14 daripada 39 individu yang disaring dalam kluster tersebut disahkan positif Covid-19.

"18 individu disahkan negatif manakala tujuh lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, satu kes positif Covid-19 membabitkan rakyat tempatan dikesan ketika saringan prapembedahan di sebuah pusat perubatan di Seremban.

"Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dua kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warga asing masing-masing dikesan ketika saringan prapembedahan dan Kluster Rumah Warga Emas Kluang.

Menyentuh mengenai enam kes import yang mendapat jangkitan luar negara, beliau berkata, ia melibatkan empat rakyat Malaysia dan dua warga asing yang dibenar memasuki negara ini atas urusan kerja.

Katanya, enam kes tersebut membabitkan tiga dari Filipina dan masing-masing satu kes yang mendapat jangkitan di India, Rusia dan Denmark.

"Pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara ini sebanyak 8,800.

"Kes aktif yang sedang dirawat di hospital turut meningkat kepada 122 kes," katanya.

Katanya, sehingga kini, hanya tiga kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk seorang memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes kematian berkaitan Covid-19 kekal pada 123 kes selepas tiada kematian dilaporkan," katanya.

Menurutnya, terdapat dua kes yang disahkan pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 ialah 8,555 kes iaitu bersamaan dengan 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!