Singapura cadang lanjut penggantungan pewujudan RA, ILS

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SINGAPURA - Singapura telah mencadangkan perlanjutan penggantungan bersama pewujudan Kawasan Larangan Kekal (RA) di ruang udara Pasir Gudang oleh Malaysia dan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan berkata, ia bertujuan “untuk memberi lebih banyak masa bagi perbincangan demi mencapai keputusan menang-memang bagi kedua-dua pihak

Boon Wan membuat cadangan itu kepada rakan sejawatannya dari Malaysia Anthony Loke semasa kedua-dua mereka mengadakan pertemuan di sini pagi tadi.

“Beliau (Loke) akan membawa cadangan saya balik untuk dikemukakan kepada rakan-rakannya dalam Kabinet,” kata Khaw menerusi catatan terkininya dalam laman Facebook yang dilampirkan beserta gambarnya dan Loke.

Pada 8 Januari, Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk kedua-dua pihak segara dan serentak menggantung pewujudan Kawasan Larangan Kekal oleh Malaysia di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar untuk tempoh satu bulan.

Menurut Boon Wan, beliau dan Loke sekali lagi akan bertemu selepas sambutan Tahun Baharu Cina untuk meneruskan perbincangan mengenai ruang udara.

“Saya baru sahaja mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke di Singapura. Ini kali ketiga kami bertemu selepas pertemuan sebelumnya di Putrajaya dan Bangkok tahun lepas,” kata beliau menerusi catatan itu.

Sementara itu, Loke berkata beliau mengadakan pertemuan yang “berhasil dan membina” dengan Menteri Pengangkutan Singapura itu pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

“Kami bersetuju mengenai usaha ke arah menyelesaikan isu lapangan terbang Seletar dan Pihak Berkuasa Penerbangan awam kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan mengenai aspek teknikal,” katanya menerusi catatan juga dalam Facebook. - Bernama