X

Kindly register in order to view this article
!

Tipu kawan, ibu tunggal dipenjara 48 bulan

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 48 bulan dan denda RM17,000 terhadap seorang ibu tunggal selepas didapati bersalah menipu rakannya serta memalsukan dokumen membabitkan kerugian RM16,100.

Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh, Nurul Azia Azmi, 30, didapati bersalah terhadap enam pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 471 KK.

Berdasarkan pertuduhan, Nurul Azia didakwa mengikut Seksyen 420 KK kerana menipu Henny Wibawanti dengan memperdayakan dan sengaja mendorongnya memasukkan dan menyerahkan wang membabitkan kerugian keseluruhan RM16,100.

Kesalahan itu dilakukan antara 24 hingga 28 Mei 2018.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 471 KK kerana memalsukan satu dokumen resit rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dengan niat untuk menipu mangsa di Jalan Wakaf Tapai, Marang pada 24 Mei lalu.

Bagi pertuduhan satu hingga lima, Majistret Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan keenam mengikut Seksyen 420 KK pula, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2, 000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tertuduh turut dikenakan hukuman penjara 18 bulan bagi kesalahan mengikut Seksyen 471 KK.

Bagaimanapun, Majistret Noor Mazrinie mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu hingga enam berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan.

Hukuman penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 471 KK pula berjalan berasingan sebaik hukuman penjara 30 bulan berakhir.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Nordin Kassim.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!