Pertimbang elaun khas Pasukan Polis Marin

Abdul Rahim memberi sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Abdul Rahim memberi sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan elaun khas atau bayaran insentif sebanyak RM500 sebulan kepada 2,270 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM).

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, elaun atau bayaran insentif itu wajar diberikan kepada PPM kerana pasukan itu tidak pernah menerima elaun khas sejak penubuhannya pada 1947.

"Permohonan berkenaan berasaskan kepada beberapa kriteria PPM iaitu kepakaran, kemahiran, kepentingan perkhidmatan, risiko kerja, kesusahan, galakan dan keanehan tugas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, permohonan bayaran insentif berkenaan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM13,620,000 setahun.

"Permohonan insentif untuk PPM itu merupakan antara empat elaun yang dikemukakan oleh PDRM untuk dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya.

Menurutnya, PDRM turut menghantar kertas kerja kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada September tahun lalu bagi mempertimbangkan kenaikan elaun pakaian seragam daripada RM500 kepada RM1,000.

"Elaun yang ada ketika ini tidak mencukupi untuk menampung tempahan pakaian seragam yang bernilai sehingga RM800 sepasang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap kerajaan meluluskan permohonan elaun perjalanan dari tempat kediaman ke tempat bertugas sebagaimana yang dinikmati Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel Berkaitan:

"Pertimbangan pemberian elaun berkenaan untuk anggota dan pegawai yang tidak diperuntukkan perumahan polis dan terpaksa menyewa di tempat yang jauh,” katanya.

Abdul Rahim berkata, PDRM juga memohon kerajaan untuk mempertimbangkan kenaikan bayaran gantian kerja lebih masa yang diterima ketika ini sebanyak RM200 kepada RM500.

"Selain itu, terdapat 12 lagi elaun yang akan dikemukakan dari masa ke masa mengikut keadaan semasa kewangan kerajaan," katanya.