ADUN Rahang kembali kepada DAP

Mary Josephine diapit Loke Siew Fook (kanan) dan Kit Siang selepas mengadakan sidang akhbar mengumumkan kembali bersama DAP
Mary Josephine diapit Loke Siew Fook (kanan) dan Kit Siang selepas mengadakan sidang akhbar mengumumkan kembali bersama DAP
A
A
A

SEREMBAN - Selepas 10 hari membuat keputusan meninggalkan DAP dan bergerak sebagai ADUN Bebas, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh hari ini mengumumkan yang beliau menarik balik keputusan itu.

Pengumuman itu dibuat pada sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook yang turut dihadiri pemimpin Vateran DAP, Lim Kit Siang.

Mary Josephine yang telah bersama DAP selama 46 tahun turut menarik balik kesemua peletakan jawatannya dalam parti.

Beliau mengakui keputusannya meninggalkan parti sebelum ini sesuatu yang menyakitkan dan tidak menggembirakannya.

"Lebih menyakitkan apabila memikirkan perjuangan saya bersama DAP selama 46 tahun yang terpaksa ditinggalkan.

"Jadi dalam pertemuan bersama Loke Siew Fook Jumaat lalu, saya memberitahu beliau mahu kembali bersama DAP. Terima kasih kepada semua kepimpinan DAP dan pengundi yang terus memberi sokongan dan mengajak saya kembali kepada DAP," katanya yang sedar ada pandangan negatif mengenai keputusannya keluar parti sebelum ini.

Sementara itu Loke Siew Fook berkata, beliau selaku Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP tidak pernah menerima surat peletakan jawatan Mary Josephine.

"Bagi saya beliau tidak pernah meninggalkan DAP. Saya amat mengenalinya dan beliau sendiri memberitahu tidak gembira tanpa DAP.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang berlaku ini memberi mesej jelas yang DAP akan mainkan peranan memperkukuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap semua kepimpinan dapat bekerjasama dan terus memperkukuhkan DAP dan PH di negeri itu.