Turapan guna sisa plastik lebih tahan lama berbanding konvensional

Eddin Syazlee Shith
Eddin Syazlee Shith
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan sisa plastik sebagai bahan tambahan dalam turapan jalan didapati masih dalam keadaan baik selepas 12 bulan berbanding turapan konvensional yang mulai retak selepas enam bulan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, keputusan itu diperoleh menerusi kajian makmal dan di tapak yang dijalankan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2017.

Menurutnya, buat masa ini sebanyak tiga negeri iaitu Temerloh, Pahang, Kemaman, Terengganu dan Tangkak, Johor telah melakukan ujian penggunaan sisa plastik sebagai bahan tambahan dalam turapan jalan.

"Pemantauan ke atas prestasi turapan di tapak kajian di Temerloh pada awalnya menunjukkan turapan plastik lebih baik daripada turapan jalan konvensional.

"Hasil turapan tersebut didapati masih berada dalam keadaan baik (tidak retak) selepas 12 bulan manakala turapan konvensional mula retak selepas enam bulan," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) yang meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan status terkini penggunaan bahan getah dan plastik sebagai bahan tambahan untuk turapan jalan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Eddin Syazlee turut memberitahu bahawa getah asli latex dan crumb rubber digunakan dengan meluas sebagai bahan tambahan untuk turapan jalan di seluruh negara tahun ini melibatkan peruntukan awal berjumlah RM140 juta.

Katanya selain itu, getah tempatan dalam bentuk cup lump turut digunakan pada tahun lalu dan tahun ini dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM100 juta.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sememangnya komited untuk membantu meningkatkan kepelbagaian penggunaan getah tempatan dalam produk-produk industri dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil," katanya.