'Saya mohon pertimbangan mahkamah untuk Najib hadir ke Parlimen'

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan@Harun menjelaskan mengenai surat permohonan beliau kepada mahkamah bagi membenarkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak hadir ke sesi perbahasan di Parlimen pada Khamis lalu.

Beliau menjawab persoalan Chang Lih Kang (PKR- Tanjong Malim) yang meminta Azhar memaklumkan keperluan berbuat demikian selepas tamat sesi pertanyaan jawab lisan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Menurut Azhar, beliau mengemukakan surat permohonan untuk pertimbangan hakim dan bukan mengeluarkan arahan atau perintah.

Katanya, Najib perlu hadir ke Parlimen bagi membahaskan usul Titah Diraja pada jam 3.40 petang seperti yang ditetapkan pada hari tersebut.

"Kemudian pada paginya saya difahamkan beliau (Najib) meminta penangguhan kes untuk datang ke Parlimen tetapi dinafikan.

"Jadi kita ini ada doktrin pembahagian kuasa di mana kuasa-kuasa di antara mahkamah, eksekutif dan mahkamah itu sama.

"Saya berpendapat bahawa oleh kerana slot YB Pekan petang itu, maka saya ingin memohon pertimbangan Yang Arif Hakim menimbangkan permohonan untuk beliau dibenarkan untuk datang ke Parlimen.

"Itu sahaja, saya tidak perintah, saya tidak apa-apa pun," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun jawapan Azhar terus dipertikaikan Lih Kang yang menyebut giliran perbahasan Ahli Parlimen Pekan itu boleh ditunda bagi mengelakkan tarikh yang sama dengan prosiding kes di mahkamah.

Azhar kemudian menegaskan perkara itu mengikut budi bicara beliau.

"Saya slotkan beliau (Najib) pada petang itu maka saya memohon pertimbangan Yang Arif Hakim, bukan saya perintahkan.

"Sebelum ini ada juga Ahli Parlimen yang diberi penangguhan kes amat lama untuk datang ke Parlimen.

"YB (Lih Kang) pun tahu siapa," katanya.

Perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditamatkan lebih awal bagi membolehkan Ahli Parlimen Pekan itu menghadiri sidang Parlimen.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan berkenaan selepas membaca surat daripada Speaker Dewan Rakyat.