Lebih 50 hotel di Kelantan bakal disanitasi

Pengamal media yang terlibat dalam menjayakan Program Ekspresi Media 2020 di Hotel Perdana, Kota Bharu malam tadi bergambar bersama penganjur.
Pengamal media yang terlibat dalam menjayakan Program Ekspresi Media 2020 di Hotel Perdana, Kota Bharu malam tadi bergambar bersama penganjur.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 50 hotel di negeri ini akan dinyahkuman bagi memberi keyakinan kepada pelancong untuk menginap di hotel-hotel ketika negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada wabak koranavirus (Covid-19).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Mejar Md Anizam Abdul Rahman berkata, proses nyahkuman secara berperingkat itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pengusaha hotel dalam masa terdekat.

Menurutnya, buat masa ini orang ramai masih berhati-hati untuk menginap di mana-mana hotel dan diharapkan inisiatif berkenaan mampu merancakkan semula industri pelancongan domestik yang terjejas pasca Covid-19.

“Industri pelancongan yang terjejas perlu dirancakkan semula dengan pelbagai cara. Ini salah satu daripada usaha untuk memberi keyakinan kepada pelancong dan jana semula ekonomi,” katanya kepada media malam tadi.

Terdahulu beliau merasmikan Program Ekspresi Media Kelantan 2020 anjuran Tourism Malaysia dan melancarkan pakej 'Jom Cuti Bersama Firefly' di Hotel Perdana di sini.

Md Anizam menyempurnakan perasmian Program Ekspresi Media Kelantan 2020 anjuran Tourism Malaysia dan melancarkan pakej 'Jom Cuti Bersama Firefly' di Hotel Perdana malam tadi.
Md Anizam menyempurnakan perasmian Program Ekspresi Media Kelantan 2020 anjuran Tourism Malaysia dan melancarkan pakej 'Jom Cuti Bersama Firefly' di Hotel Perdana malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazim.

Md Anizam berkata, selain usaha giat dilaksanakan kerajaan dan kementerian dalam membangunkan semula industri pelancongan, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan mengambil peluang bercuti di dalam negara termasuklah di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi membantu semula industri peloncongan di Kelantan, kerajaan turut mencadangkan pengusaha hotel menawarkan potongan istimewa ataupun baucar kepada 100 orang ramai yang menginap di hotel.

“Ini masih di peringkat cadangan dan inisiatif sebegini boleh menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan untuk menikmati pelbagai keunikan di negeri ini termasuk budaya, kesenian dan makanan istimewa di sini.

“Ini bukan sahaja membantu ekonomi negeri tetapi secara langsung menolong menjana pendapatan kepada rakyat setempat,” katanya.

Program Ekspresi Media 2020 adalah program berkonsepkan lawatan suaikenal secara interaktif untuk mengetengahkan produk berasaskan pelancongan pengalaman atau 'experiential tourism' yang bukan sahaja melibatkan destinasi menarik malah mendekati budaya, warisan, makanan dan pelancongan berasaskan komuniti.

Sementara itu, Philip berkata, Firefly menawarkan penginapan satu malam percuma bagi tempahan minimun dua malam untuk pembelian tiket penerbangan serta penginapan dengan menggunakan kod promosi 'JOMCUTIKBR'.

Katanya, pakej tersebut boleh ditempah mulai 20 hingga 26 Julai di laman web fireflyz.com.my untuk tarikh perjalanan melancong bermula 27 Julai hingga 31 Disember ini.