Pengurusan kes Patrick Teoh 7 September depan

Patrick Teoh (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini bagi sebutan semula kes mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bulan lepas.
Patrick Teoh (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini bagi sebutan semula kes mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bulan lepas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini menetapkan 7 September depan bagi pengurusan kes selebriti dan penyampai radio, Patrick Teoh.

Patrick atau nama sebenarnya Teoh Kang Yong, 73, dituduh membuat dan memulakan penghantaran komen jelik di laman sosial terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor Mei lalu.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memaklumkan mahkamah mereka mahu merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Kang Yong diwakili peguam Wong Hong Yi dan M Puravalen yang berpendapat terdapat isu Perlembagaan perlu dijelaskan sebelum kes berkenaan diteruskan untuk perbicaraan.

Permohonan pembelaan tersebut tidak mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh.

Dalam pada itu, mahkamah turut membenarkan permohonan pembelaan supaya penjamin Kang Yong iaitu isteri Chan Hui Min, 52, tidak perlu hadir ke mahkamah kerana mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Kang Yong memakai kemeja lengan panjang berwarna putih tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira jam 8.15 pagi ditemani isterinya, Chan Hui Min.

Terdahulu, pada 14 Jun lalu, Kang Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggunakan akaun Facebooknya pada 8 Mei.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.