Pendaki sesat di puncak gunung ditemui selamat

Anggota bomba menyelamatkan dua lelaki yang sesat dan hilang semasa turun dari puncak gunung di Taman Rekreasi Bukit Soga, Taman Bukit Perdana, Batu Pahat, malam tadi
Anggota bomba menyelamatkan dua lelaki yang sesat dan hilang semasa turun dari puncak gunung di Taman Rekreasi Bukit Soga, Taman Bukit Perdana, Batu Pahat, malam tadi
A
A
A

BATU PAHAT - Dua lelaki ditemui selamat selepas sesat dan hilang di puncak gunung di Taman Rekreasi Bukit Soga, Taman Bukit Perdana di sini malam tadi.

Lim Chen Eng dan Tan Woam Min masing-masing berusia 48 tahun tidak turun selepas melakukan pendakian sejak petang semalam.

Ahli keluarga kedua-dua mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan taman berkenaan sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat pada jam 9.51 malam untuk memohon bantuan.

Seramai tujuh anggota dari BBP Batu Pahat dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, kedua-dua mangsa sebelum itu tidak dapat dikesan, terputus hubungan dan hilang jejak semasa turun dari gunung tersebut.

"Mangsa kemudian berjaya dihubungi melalui talian telefon selepas anggota bomba tiba di lokasi dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian berjaya mengenal pasti lokasi mangsa di puncak gunung itu.

"Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula dari kaki gunung dan menyusuri jejak mangsa sehingga ke puncak gunung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, keadaan menjadi gelap pada waktu malam yang menyukarkan anggota untuk mendaki ke puncak gunung.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian berjaya ditemukan pada jam 10.20 malam dalam keadaan selamat.

Kata Mohd Fauzi, mereka kemudian dibawa turun tidak sampai dalam tempoh 30 minit dan operasi tamat kira-kira jam 11 malam.