Johor tidak mahu venue Sukma jadi projek gajah putih

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan Johor berharap venue Sukan Malaysia (Sukma) 2020 akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan sukan negeri dan tidak menjadi projek gajah putih selepas berakhirnya penganjuran sukan dwi tahunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara venue yang boleh dimanfaatkan selepas tamatnya temasya Sukma 2020 adalah Pusat Pelayaran, Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU) Desaru, di sini.

"Kita harap pihak berkuasa tempatan, kelab atau persatuan pelayaran yang terdapat di negara ini dan penganjur aktiviti sukan udara dapat merancang pelbagai penganjuran sukan berkaitan di peringkat tempatan dan antarabangsa di lokasi ini," katanya semasa melawat pusat berkenaan petang semalam.

Beliau berkata, pelantar berupa 'pontoon' mudah alih yang direka khas menjadikan KRMSAU sebagai yang terbesar di Malaysia jika dibandingkan dengan yang serupa di Langkawi mahupun di peringkat Asia Tenggara.

Katanya, sukan pelayaran untuk Sukma Johor 2020 akan berlangsung selama 10 hari membabitkan 14 acara merangkumi tiga kategori iaitu tujuh acara atlet lelaki, enam acara untuk wanita dan satu berkumpulan.

Onn Hafiz berkata, sejumlah RM350 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan semua venue untuk 31 acara sukan pada temasya Sukma yang dijangka berlangsung pada 2021.

Sukma Johor 2020 dijadualkan semula bermula 6 hingga 14 Mac tahun depan. Ia pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai 2020 tetapi terpaksa ditunda atas faktor keselamatan dan kesihatan berikutan ancaman penularan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: