PDRM beri tumpuan khusus perangi jenayah dalam talian

 Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji untuk memasukkan jenayah penipuan dalam talian atau siber sebagai tumpuan khusus selaras dengan usaha mengekang jenayah terbabit.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kategori jenayah itu belum dimasukkan di dalam jenayah indeks PDRM.

"PDRM sedang mengkaji untuk memasukkan jenayah komersial ini menjadi tumpuan yang khusus bagi kita menangani jenayah online.

"Kita juga akan mempertingkatkan peralatan bagi mengesan (penjenayah) supaya dapat dibanteras," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang bertanyakan langkah-langkah yang diambil oleh PDRM bagi membanteras jenayah dalam talian yang semakin berleluasa ketika ini.

Terdahulu, Dr Ismail menjawab soalan lisan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung indeks jenayah di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pelaksanaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah mempengaruhi situasi jenayah negara.

"Jenayah Indeks di Kontinjen Kuala Lumpur bagi tempoh sebelum PKP iaitu mulai 1 Januari sehingga 17 Mac 2020 mencatatkan sebanyak 2,225 kes, manakala ketika fasa PKP mulai 19 Mac hingga 3 Mei mencatatkan sebanyak 546 kes.

Artikel Berkaitan:

"Fasa PKPB mulai 4 Mei sehingga 9 Jun mencatatkan 708 kes dan bagi tempoh PKPP mulai 10 Jun sehingga 30 Jun, kes jenayah indeks mencatatkan sebanyak 488 kes," katanya.