Pemandu lori ditahan bersama dadah di R&R

PDRM
PDRM
A
A
A
BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM318,105 itu di tempat letak kereta hentian rehat dan rawat (R&R) Juru di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota yang menjalankan risikan dan intipan sejak minggu lepas telah membuat pemeriksaan ke atas kereta dipandu lelaki berusia 41 tahun berkenaan.

“Dalam pemeriksaan jam 10.35 malam tadi, kereta jenis BMW berkenaan berada di tempat letak kenderaan R&R Juru arah Utara dan terdapat lelaki di tempat duduk pemandu.

“Pemeriksaan polis menemui 1 peket plastik heroin seberat 5.9gram (g) bersama lelaki itu dan hasil pemeriksaan lanjut kami menemui 3,710.2g heroin base di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaannya,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM4,000 daripada lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori yang juga berstatus duda itu.
Artikel Berkaitan:


“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mendapatkan bekalan daripada sindiket pengedaran dadah sebelum menjual kepada pelanggannya yang dipercayai mempunyai kepakaran memproses dadah polis sedang giat kesan mereka untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menyita kereta BMW, dua buah motosikal dan tiga utas jam tangan berjenama dari lelaki itu. Harga pasaran rampasan adalah RM318,105 manakala kenderaan serta jam yang disita bernilai kira-kira RM100,000,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang turut positif dadah itu direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama