PKR Cabang Jempol tidak lumpuh

Sebahagian ahli PKR Cabang Jempol yang hadir pada Program ‘Mano ado lumpuh?’ dan Majlis Hi-Tea Keadilan Cabang Jempol di Balairaya Felda Palong 4, Jempol semalam.
Sebahagian ahli PKR Cabang Jempol yang hadir pada Program ‘Mano ado lumpuh?’ dan Majlis Hi-Tea Keadilan Cabang Jempol di Balairaya Felda Palong 4, Jempol semalam.
A
A
A

JEMPOL - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jempol menafikan dakwaan kononnya Cabang Jempol telah lumpuh ekoran beberapa pimpinan AJK tertinggi bertindak keluar parti baru-baru ini.

Naib Ketua Cabang Jempol, Rebin Birham berkata, meskipun Ketua Cabang bersama tujuh AJK lain keluar parti, namun ada ramai lagi pimpinan dan AJK yang masih setia dengan PKR berjuang di Cabang Jempol.

“Tindakan tujuh bekas AJK Cabang Jempol mengumumkan keluar parti tidak mengejutkan sebaliknya sudah dijangka kerana tiga orang daripada mereka termasuk bekas Ketua Cabang, Karip Mohd Salleh sendiri sudah pun dikenakan tindakan disiplin oleh parti terlebih dahulu dan digantung keahlian sehingga ke saat mereka keluar parti.

“Mana mungkin PKR Cabang Jempol boleh lumpuh jika hanya tujuh daripada 26 AJK yang umum keluar parti? Apakah PKR Cabang Jempol yang memiliki lebih 4,000 anggota akan lumpuh apabila 20 orang anggotanya keluar parti?

"Mereka hanya melakukan propaganda yang tidak masuk akal semata-mata mahu menjatuhkan imej PKR Cabang Jempol,” katanya.

Rebin (tiga dari kanan) pada Program ‘Mano ado lumpuh?’ dan Majlis Hi-Tea Keadilan Cabang Jempol di Balairaya Felda Palong 4, Jempol semalam.
Rebin (tiga dari kanan) pada Program ‘Mano ado lumpuh?’ dan Majlis Hi-Tea Keadilan Cabang Jempol di Balairaya Felda Palong 4, Jempol semalam.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Program ‘Mano ado lumpuh?’ dan Majlis Hi-Tea Keadilan Cabang Jempol di Balairaya Felda Palong 4 dekat sini semalam.

Program yang dihadiri 200 ahli itu turut disertai wakil PKR Pusat, Datuk Romli Ishak; Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Mokhtar Ahmad; Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Nazri Kassim; Wakil MPN, Jaafar Muhammad dan Penyelaras DUN Jeram Padang, Musliadi Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Rebin berkata, AJK Cabang Jempol berfungsi seperti biasa mengadakan pelbagai aktiviti dan gerak kerja malah langsung tidak terkesan dengan tindakan tujuh bekas AJK Cabang Jempol yang keluar parti itu.

Pada program tersebut, turut diadakan penyerahan borang keahlian baharu seramai 107 kepada Setiausaha MPN.

“Selain itu, sebanyak lima buah ranting baharu telah dirasmikan iaitu PKR Ranting Palong 4, Palong 5, Palong 9, Palong 14, 15 dan 16 serta Ranting Serting Hilir 4, bagi memperkukuhkan parti ini," katanya.