Kapal angkasa pertama UAE ke Marikh dilancarkan

Kakitangan Pusat Angkasa Lepas Mohammed Bin Rashid menyaksikan pelancaran kapal angkasa Hope menerusi skrin gergasi di Dubai hari ini. - Foto AFP
Kakitangan Pusat Angkasa Lepas Mohammed Bin Rashid menyaksikan pelancaran kapal angkasa Hope menerusi skrin gergasi di Dubai hari ini. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini meraikan pelancaran sebuah kapal angkasa penjelajah, Hope ke planet Marikh iaitu misi antara planet yang pertama oleh sebuah negara Arab.

Pelancaran kapal angkasa tanpa juruterbang yang sudah lama ditunggu itu pada jam 6.58 pagi waktu tempatan (5.58 pagi) dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Kepulauan Osumi dan disambut dengan perasaan sangat gembira di UAE.

Sementara itu, pusat perintah dan kawalan di Pusat Angkasa Lepas Mohammed Bin Rashid (MBRSC) yang menjadi pelopor projek Marikh dengan pekerja kira-kira 450 orang, separuh daripadanya warga UAE turut berasa teruja dengan pelancaran tersebut.

Penolong Pengarah Projek Marikh UAE, Sarah al-Amiri berkata, terdapat satu perasaan yang tidak dapat digambarkan ketika melihat roket tersebut dilancarkan.

"Ini ialah masa depan UAE," katanya yang juga Menteri Negara Untuk Kemajuan Sains kepada TV Dubai dari pusat pelancaran itu.

"Kami sedang menunggu detik-detik pemisahan (roket dengan kapal angkasa itu) dan signal yang pertama. Saya mengucapkan terima kasih kepada UAE kerana diberikan peluang ini," tambahnya.

Hope atau Al-Amal dalam bahasa Arab merupakan satu sumber kebanggaan UAE iaitu pendatang baharu kepada dunia angkasa lepas.

"Satu mesej kebanggaan, harapan dan keamanan kepada wilayah Arab yang mana kita perbaharui penemuan Islam dan zaman keemasan Arab, kerajaan UAE disatukan dengan tujuh emiriah termasuk ibu negara Abu Dhabi dan kota Dubai," kata satu kenyataan di Twitter.

Artikel Berkaitan:

Bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa diterangi cahaya lampu beberapa jam sebelum roket itu dilancarkan dengan pengiraan 10 saat pelancaran Hope yang dua kali ditangguhkan berikutan masalah cuaca.

Ia dijangka tiba di orbit planet Marikh pada Februari 2021 sekali gus meraikan ulang tahun ke-50 tahun penyatuan UAE.

Projek UAE itu merupakan antara tiga negara yang berlumba ke planet Marikh iaitu Tianwen-1 dari China dan Mars 2020 dari Amerika Syarikat (AS).

Pada Oktober ini, planet tersebut berada dekat dengan bumi iaitu sejauh 62.07 juta kilometer, menurut Pusat Aeronautik Kebangsaan dan Pentadbiran Angkasa (NASA). - Agensi