X

Kindly register in order to view this article
!

Gimik politik untuk tekan PM

A
A

SHAH ALAM - Tindakan dua negeri Malaysia Timur menuntut kerajaan Persekutuan memperuntukkan satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen dilihat sekadar gimik politik untuk menekan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Sabah dan Sarawak sepatutnya membantu kemenangan mana-mana perikatan politik yang disokong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan capaian majoriti dua pertiga kerusi Parlimen terlebih dahulu sebelum menuntut perkara besar berkenaan.

Beliau berkata, tuntutan itu seolah-olah cuba menangguk di air yang keruh memandangkan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dilihat lemah apabila memiliki majoriti sangat tipis di Dewan Rakyat.

“Kalau hendak tambah kerusi Parlimen kepada bilangan satu pertiga, mereka (Sabah dan Sarawak) kena membantu kemenangan mana-mana pakatan parti disokong pada PRU15 dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen terlebih dahulu.

“Untuk menambahkan bilangan kerusi Parlimen daripada jumlah sedia ada, usul mengubah kawasan persempadan pilihan raya yang dikemukakan di Parlimen perlu mendapat sokongan dua pertiga daripada perwakilan Parlimen.

“Dalam keadaan sekarang, tuntutan ini sebenarnya satu gimik politik kerana ia bukan keperluan mendesak kedua-dua negeri itu. Ia hanya sekadar untuk menekan Muhyiddin yang pada ketika ini dilihat agak lemah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memperjuangkan satu pertiga kerusi wakil rakyat dalam Parlimen yang kini mempunyai 222 kerusi demi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat selepas ketiadaan Singapura.

Susulan itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing menggesa Sabah untuk bekerjasama memenuhi tuntutan berkenaan dengan Sabah pada ketika ini mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen.

Kelmarin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa Sabah sedia bekerjasama dengan Sarawak menuntut bilangan kerusi Parlimen diperuntukkan kepada kedua-dua negeri itu, ditambah kepada satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Mohd Shafie berkata, Sabah tidak akan menentang cadangan Sarawak kerana beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak jauh lebih besar daripada Semenanjung Malaysia.

Jumlah 74 kerusi Parlimen diperlukan Sabah dan Sarawak bagi mencapai bilangan satu pertiga daripada keseluruhan perwakilan Parlimen.

Sementara itu, Ahmad Atory turut berpandangan, faktor kawasan Parlimen lebih luas berbanding Semenanjung Malaysia adalah tidak relevan untuk dijadikan alasan melaksanakan penambahan bilangan kerusi berkenaan.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menggunakan kaedah penentuan bilangan kepadatan penduduk bagi menambah bilangan kawasan Parlimen berbanding penentuan jumlah keluasan kawasan Parlimen.

“Sebagai contoh, Pulau Pinang adalah lebih kecil daripada beberapa kawasan Parlimen di Sarawak, tetapi ia mempunyai 15 kerusi Parlimen kerana memiliki jumlah kepadatan penduduk seramai dua juta orang,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Leiden University di Belanda, Abdul Muein Abadi pula berpandangan, keperluan pertambahan bilangan kerusi Parlimen adalah lebih mendesak di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia berbanding Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak mungkin mempunyai asas untuk menuntut pertambahan bilangan kerusi Parlimen, namun tuntutan itu tidaklah sampai kepada tahap dikehendaki mereka.

“Mengikut statistik terbaharu Jabatan Perangkaan, kita boleh melihat tahap kepadatan penduduk di negeri di Semenanjung Malaysia meningkat mendadak berbanding Sabah dan Sarawak.

“Hakikatnya, berdasarkan pemerhatian politik, banyak kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di kawasan pantai timur Semenanjung mempunyai keperluan mendesak untuk ditambah atau dipecahkan berbanding kerusi Parlimen di pantai barat.

Abdul Muein tidak menolak kemungkinan tuntutan terbaharu itu sekadar untuk meraih sokongan politik rakyat negeri-negeri masing-masing terutama Sarawak yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!