Impak sebenar Covid-19 selepas September

Dr Abd Halim Husin
Dr Abd Halim Husin
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr Abd Halim Husin mengakui terdapat syarikat-syarikat di bawah persatuan itu yang gulung tikar susulan krisis Covid-19 yang menyaksikan negara terpaksa melaksanakan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abd Halim berkata, impak Covid-19 belum dirasai sepenuhnya berikutan beberapa insentif yang diberikan kerajaan membantu golongan usahawan.

“Insentif-insentif kerajaan seperti pakej Prihatin dan Penjana telah menyelamatkan kedudukan usahawan yang mengalami tekanan aliran tunai.

“Subsidi upah juga amat membantu golongan usahawan dalam membayar gaji para pekerja. Gaji adalah salah satu item paling besar dalam kira-kira untung rugi sesebuah perniagaan,” kata Abd Halim kepada Sinar Harian.

Beliau menegaskan, impak sebenar Covid-19 akan dirasai selepas bulan September kerana pada tarikh itu akan berakhirnya banyak bantuan kerajaan terutamanya moratorium oleh pihak bank.

“Hal ini akan membebankan bukan sahaja usahawan malah orang ramai yang menanggung pembiayaan kereta, pinjaman peribadi dan perumahan,” katanya sambil menambah ahli-ahli DPMM juga tidak terkecuali daripada menghadapi kesan isu Covid-19.

“Memang terdapat ahli-ahli DPMM yang mempunyai aliran tunai yang sangat teruk, terutamanya daripada industri pelancongan apabila aktiviti-aktiviti perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Walaupun kini kerajaan telah membenarkan industri terbabit beroperasi tetapi rakyat Malaysia masih sangat berhati-hati untuk keluar dan melancong walaupun di dalam negara,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ditanya inisiatif DPMM membantu ahli-ahlinya yang terkesan, Abd Halim berkata, salah satu inisiatif DPMM yang dikira berjaya adalah survei impak Covid-19 terhadap ahli-ahli.

“Survei live itu membolehkan ahli-ahli mengemukakan permasalahan yang dihadapi sama ada yang telah diselesaikan atau sebaliknya, dan dapatan survei kita berikan kepada kerajaan,” katanya.