Kemelut Bersatu hanya sementara

Mohd Redzuan Md Yusof
Mohd Redzuan Md Yusof
A
A
A

KOTA BHARU - Hala tuju dan asas perjuangan pemimpin serta ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih sama walaupun berlaku kemelut dalaman ketika ini.

Ahli Pimpinan Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kemelut yang melanda parti kini diibaratkan sebagai satu perbezaan pendapat dalam sebuah keluarga.

“Saya berpendapat (kemelut) itu sementara sahaja. Hala tuju dan asas perjuangan gerakan parti ini masih lagi sama. Matlamat yang sama, mungkin jalan itu yang berbeza. Insya-ALLAH kita dapat bertemu daripada satu simpang memperkasakan perjuangan Bersatu.

“Bersatu masih berasaskan kepada perlembagaan dan peraturan parti. Tidak lari daripada perjuangan yang kita bawa,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi libat urus antara Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan Koperasi Negeri Kelantan di Hotel Perdana di sini hari ini.

Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata, pemilihan kerusi Bersatu akan diselesaikan dengan cara baik.

“Itu yang saya mahu bawa. Kalau tidak, usaha yang kita lakukan ini akan menampakkan unsur-unsur bahawa kita tidak mahu menyatukan pimpinan kerajaan Pakatan Nasional (PN) dan untuk membela rakyat,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peluangnya dalam pemilihan jawatan Naib Presiden Bersatu, Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, beliau antara orang yang membantu mengasaskan Bersatu.

“Saya tidak boleh nyatakan mempunyai peluang (menang) kerana pemilihan ini dilakukan oleh ahli parti," katanya.

Artikel Berkaitan: