X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

PN dicadang buat PRU di peringkat Parlimen sahaja

PRU boleh diadakan secara berasingan di antara kerusi Parlimen dan DUN. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya mendapatkan mandat baharu dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di peringkat kerusi Parlimen sahaja.

Beliau berpendapat, isu besar politik semasa kini ialah kerajaan Pusat yang tidak stabil dan memerlukan mandat baharu berikutan majoriti tipis kerajaan PN di Parlimen.

“Keperluan mencari mandat baharu ialah di peringkat Pusat, bukan di negeri. Kecuali negeri yang memang sudah hampir tamat penggal seperti Sarawak.

“Tidak dinafikan PRU berbeza untuk Dewan Undangan Negeri (DUN). Parlimen juga melibatkan kos yang lebih besar.

“Namun kena faham, Perdana Menteri hanya ada kuasa untuk minta Dewan Rakyat dibubarkan, bukan DUN,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

Ahmad Shabery berkata, kuasa meminta untuk membubarkan DUN terletak pada Menteri Besar dan terpulang kepada mereka sama ada mahu membubarkan atau tidak sekiranya Dewan Rakyat bubar dalam masa terdekat.

“Isu negeri, nak jadi milik siapa, rasanya tak perlu jadi tajuk utama lagi. Kita selesaikan kerajaan Pusat dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, dari segi undang-undang, PRU boleh diadakan secara berasingan di antara kerusi Parlimen dan DUN.

Sebagai contoh, katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang tidak dilaksanakan secara serentak dengan PRU.

“Tapi saya rasa ia akan memberi kesan kepada negeri-negeri. Contohnya apa yang sudah berlaku. Sekiranya kerajaan Persekutuan berubah, ada implikasinya kepada negeri dan dalam kalangan parti politik.

“Kedua, implikasi kewangan. Kalau buat sekali, perbelanjaan tidaklah banyak berbanding dua kali,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurut Shamrahayu, sekiranya PRU diadakan secara berasingan, perbelanjaan parti politik yang bertanding turut meningkat.

Ketika ditanya sama ada PRU bagi kerusi Parlimen dapat menyelesaikan majoriti tipis kerajaan, beliau berkata, ia bukanlah kaedah terbaik.

“Kalau ikut undang-undang, tidak kira majoriti kecil atau besar, kerajaan masih boleh melaksanakan pemerintahan.

“Cuma dari segi kestabilan politik, eloklah diperbanyakkan majoriti. Sebaiknya PRU serentak antara kerusi Parlimen dan DUN,” katanya.

Bagi seorang lagi pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, sekiranya diadakan PRU Parlimen tanpa DUN, ia satu perkara yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Senario ini mungkin baik dari segi mengelakkan masalah yang berlaku di peringkat Persekutuan namun pilihan yang lebih baik ialah mengekalkan kerajaan tanpa PRU di pertengahan tempoh penggal ini.

“Situasi kerusi yang tipis ini bukanlah satu penyebab yang mewajibkan diadakan PRU kerana kita tahu bahawa kerajaan tetap boleh mentadbir.

“Ia pernah berlaku di Kelantan pada 2004 apabila kerajaan negeri hanya memiliki lebih satu atau dua kerusi,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting ialah ahli Parlimen mempunyai sikap yang matang dan tidak mudah bertukar parti untuk kepentingan yang tidak sepatutnya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya pertukaran sokongan dalam kalangan ahli Parlimen terus berlaku, maka PRU tidak dapat dielakkan di peringkat Persekutuan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!