Kos PRU15 dijangka meningkat sehingga RM1.5 bilion

Thomas Fann
Thomas Fann
A
A
A

SHAH ALAM - Kos Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka meningkat sehingga 50 peratus atau RM1.5 bilion sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat berikutan keperluan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0, Thomas Fann berkata, peningkatan kos itu berlaku kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat penambahbaikan terhadap semua aspek perjalanan pilihan raya.

Menurutnya, jika PRU tanpa SOP baharu, ia dianggarkan hanya menelan belanja sekitar RM1 bilion atau kurang daripada itu.

“Kos PRU15 jika dijalankan pada masa Covid-19, ia akan menjadi lebih tinggi kerana SOP keselamatan tambahan, pekerja kesihatan dan juga kesediaan lebih saluran supaya bilangan pengundi bagi satu-satu saluran tidak ramai.

“Anggaran saya ialah tambahan 30 hingga 50 peratus kos iaitu antara RM1.3 hingga RM1.5 bilion. Angka ini lebih tinggi berbanding dengan PRU tanpa SOP baharu di mana kos dijangka sekitar RM1 bilion," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Pekan, Pahang yang diadakan awal bulan lalu melakar sejarah apabila proses pengundian berlangsung dalam suasana normal baharu.

Antara SOP perlu dipatuhi pengundi di kawasan adalah pemeriksaan suhu badan, khemah khas untuk pengundi bergejala, pengundi dinasihatkan hadir ke pusat mengundi mengikut cadangan masa bagi mengelak kesesakan.

Artikel Berkaitan: