Perbelanjaan PRU15 dijangka lebih besar

Proses pengundian mengikut SOP yang ditetapkan telah dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai lalu. -Foto Bernama
Proses pengundian mengikut SOP yang ditetapkan telah dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai lalu. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak akan berlaku peningkatan kos dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika wabak koronavirus (Covid-19) masih menular di negara ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Profesor Dr Azmi Sharom berkata, peningkatan itu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam yang perlu diberi perhatian bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sekiranya PRU diadakan semasa pandemik Covid-19 masih berterusan, tentu sekali kos untuk mengendalikan pilihan raya akan meningkat disebabkan langkah-langkah kesihatan awam yang perlu diambil perhatian.

“SOP yang digunakan akan bergantung kepada keadaan semasa dan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Azmi bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah anggaran peningkatan kos yang mungkin berlaku itu.

Namun, beliau berkata, peningkatan kos berkenaan membabitkan kos logistik dan pertambahan petugas.

“Kalau kita ambil Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini sebagai contoh, peningkatan kos seperti khemah khas untuk orang mungkin ada simptom, tambahan kakitangan dan lain-lain,” katanya.

Ditanya sama ada wujud kemungkinan tempoh pengundian dilanjutkan lebih daripada satu hari sekiranya melibatkan kekangan tempat mengundi berikutan pematuhan SOP normal baharu, Azmi berkata, perkara tersebut memerlukan perbincangan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Untuk melanjutkan hari pengundian lebih daripada satu hari memerlukan perbincangan mendalam dalam SPR dan juga dengan semua pihak berkepentingan dan agensi berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, SPR mendedahkan bahawa sejumlah RM500 juta digunakan pada PRU14 bagi perbelanjaan pengurusan.

Pada Februari lalu sebelum pandemik Covid-19 merebak, Pengerusi SPR ketika itu, Datuk Azhar Azizan Harun menganggarkan jumlah perbelanjaan antara RM750 juta hingga RM800 juta diperlukan untuk PRU15.

Peningkatan kos yang dinyatakan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu mengambil kira penambahbaikan yang dibuat pada 10 PRK yang diadakan selepas PRU14.

Bahkan sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan peningkatan kos PRU15 boleh mencecah sehingga RM1 bilion.

Menurutnya, ia berdasarkan penambahan pengundi setiap tahun selepas pindaan yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun diwartakan.