Tuntutan bersangka baik

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

BERSANGKA baik sangat dituntut dalam Islam untuk mengelak daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sangkaan itu sendiri bersifat tidak pasti hanya berdasarkan perasaan syak atau keraguan. Fitnah pula merupakan dosa besar.

Bersangka baik pula mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan. Antaranya, supaya hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih akrab. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja.

Islam sangat menganjurkan umatnya supaya bersangka baik atau husnudzon. Kelebihan sifat terpuji itu antara lain mampu melapangkan dada dan menjernihkan minda dengan terhindarnya daripada perasaan sakit hati, dengki atau memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Selain bersangka baik terhadap manusia, kita juga perlu bersangka baik terhadap ALLAH SWT. ALLAH SWT Maha Mengetahui setiap apa yang akan berlaku dan Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Kita hanya merancang tetapi tidak semua perancangan yang kita rangka itu sebaik-baik perkara untuk diri kita.

Hidup kita memang akan sentiasa diuji. Ada sahabat saya yang diuji dengan masalah rumah tangga, ada juga yang diuji dengan penyakit mata sehingga terpaksa melakukan pembedahan namun tetap buta sebelah mata apabila usaha yang dilakukan gagal. Ramai lagi melalui ujian yang pelbagai. Mereka tidak merungut kerana sentiasa bersangka baik dengan ALLAH.Tetapi, ada golongan yang beranggapan tidak baik dan merasakan ALLAH tidak membantu mereka pada saat mereka memerlukan pertolongan. Maka, mereka rasa diri tidak disayangi, seolah-olah doa tidak pernah dimakbulkan dan segala amalan juga kebaikan yang dilakukan sia-sia. Perasaan seperti itu sebenarnya akan menjadikan kita lebih jauh daripada ALLAH SWT.

Fikirkan sejenak: ketika kita susah dan jatuh, adakah pertolongan yang datang? Tidak kira sama ada bersifat jangka pendek atau panjang. Jika ya, sedarlah, yang menggerakkan mereka untuk membantu ialah ALLAH SWT jua.

Jika kita dengar tentang keluarga miskin yang tinggal di pondok usang selama berpuluh tahun, kemudian terdapat NGO yang sanggup menolong membina rumah baharu, itu juga adalah kerana ALLAH SWT yang menggerakkan hati mereka untuk membantu.

Bagi mereka yang kaya dan berharta pula, apabila mendengar tentang keluarga miskin atau yang ditimpa musibah, mereka sebenarnya diuji adakah mereka begitu sayangkan harta dunia ini atau sanggup menyerahkan sebahagian harta yang dimiliki demi membantu mereka yang memerlukan? Hakikatnya, harta yang kita rasa kita miliki itu bukan milik kita kerana kita juga makhluk yang dicipta. Semuanya milik ALLAH SWT semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Dalam surah Ar-Rahman, kita ditanya sebanyak 31 kali, “Nikmat mana lagi yang kamu dustakan?” Kita tidak akan dapat menafikan segala kenikmatan yang kita rasai sekarang datangnya daripada ALLAH. Sekiranya ALLAH tidak mengizinkan, sesuatu itu pasti tidak akan berlaku. Justeru, Islam mendidik kita agar sentiasa bersangka baik dengan ALLAH dalam apa keadaan sekalipun.

Apa yang seharusnya kita pelajari daripada kehidupan ini adalah yakin setiap yang berlaku ada sebabnya. Sekiranya ini dapat kita lakukan, kita akan sedar dan faham hikmah di sebalik setiap kejadian. Insya-ALLAH, semakin kita bersangka baik, semakin banyaklah kita dapat sebagaimana yang kita harapkan.

Apa yang seharusnya kita pelajari daripada kehidupan ini adalah yakin setiap yang berlaku ada sebabnya.”

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan