Lebih sejuta tandatangan desak Google, Apple letak semula peta Palestin

Tiada label Palestin dalam enjin carian Google Maps.
Tiada label Palestin dalam enjin carian Google Maps.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Hampir sejuta orang menandatangani satu petisyen diwujudkan di laman sesawang Change.org mendesak peta Palestin diletak semula dalam enjin carian Google Maps dan Apple Maps.

Sehingga berita ini ditulis, petisyen melalui pautan https://www.change.org/p/google-inc-google-put-palestine-on-your-maps? yang dilancarkan oleh Zak Martin itu telah mengumpul 1,015,300 tandatangan dari seluruh dunia.

Dalam petisyen itu, pemuda terbabit menegaskan ketiadaan wilayah Palestin merupakan satu penghinaan kepada perjuangan Palestin selain mengeruhkan lagi konflik di Asia Barat.

Kehilangan peta Palestin daripada Google Maps dan Apple Maps pernah berlaku pada 2011 dan 2016.

Ketika itu, mereka mengakui berlaku kesilapan sehingga memadamkan garis sempadan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Namun, tindakan provokatif syarikat teknologi multinasional yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) itu kali ini mencetuskan kemarahan global kerana ia dibuat ketika Israel merancang untuk merampas sebahagian tanah Palestin di Tebing Barat dan Lembah Jordan.

Pelan jahat itu sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai lalu, namun ia ditangguhkan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu disebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) selain bercanggah pendapat dengan Menteri Pertahanan, Benny Gantz.

Berdasarkan sejarah, bumi Palestin merupakan kota tamadun tertua di dunia.

Artikel Berkaitan:

Menurut kajian kesan sejarah moden, Palestin merupakan tanah pertama yang menyaksikan penempatan manusia dan pertanian sebelum kira-kira 9 ribu tahun sebelum masihi.

Sementara negara haram Israel pula ditubuhkan pada 1948 dan Perang Enam Hari 1967 menyaksikan Zionis menceroboh Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan.

Rejim Zionis menjajah kebanyakan kawasan di Tebing Barat dan mendirikan banyak penempatan haram Yahudi di wilayah itu.

Pada tahun 2012, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan pengiktirafan de facto Palestin sebagai sebuah negara dengan 138 undi bersetuju, sembilan menentang dan 41 memilih untuk berkecuali. - Agensi