Gabungan eksplosif perubahan iklm, keganasan burukkan keadaan di Sahel

Peter Maurer
Peter Maurer
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesan perubahan iklim memburukkan lagi konflik antara komuniti Mali dan Niger di Afrika Barat, yang membawa kepada kemiskinan tegar, melemahkan perkhidmatan awam serta mengganggu kelangsungan hidup secara tradisional, kata Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Keganasan dan cabaran yang terpaksa dihadapi rantau itu bukan hanya disebabkan oleh konflik tersebut, sebaliknya turut berkait rapat dengan kekurangan tanah yang boleh digunakan serta sumber air yang sukar diramal, kata Presiden ICRC Peter Maurer selepas melakukan lawatan lapan hari ke kawasan tersebut.

“Ketegangan yang telah lama wujud antara komuniti perladangan dan penternakan kian meningkat ekoran perubahan iklim kerana ketersediaan tanah yang boleh digunakan serta sumber air menjadi semakin tidak boleh diharap,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

“Perubahan iklim merumitkan lagi keadaan di rantau yang sememangnya berdepan masalah pembangunan tertinggal, kemiskinan endemik, jenayah serta keganasan yang berleluasa, dan ini menjadikan kehidupan penduduknya semakin rapuh.

“Gabungan eksplosif ini bermakna perlu ada satu perubahan yang radikal dalam pendekatan di rantau Sahel, yang mampu memperkukuh keupayaan penduduk untuk bertahan ketika berdepan kejutan yang dibawa oleh perubahan iklim,” katanya.

Menurut ICRC, suhu di Sahel kini meningkat 1.5 kali lebih pantas berbanding kadar purata global manakala hujan tidak menentu dan musim tengkujuh pula semakin menyusut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa secara kasar 80 peratus tanah pertanian di Sahel adalah usang meskipun kira-kira 50 juta penduduk di kawasan itu, yang bergantung hidup pada haiwan ternakan, bersaing untuk mendapatkan tanah.

Sehingga akhir 2018, kira-kira 33 juta penduduk di Sahel telah diklasifikasikan sebagai berdepan risiko kekurangan makanan.

Artikel Berkaitan:

Komuniti miskin bergelut untuk mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan, mencari sekolah untuk anak mereka, atau memperoleh pendapatan asas yang terjamin.

Ketika mencari jalan untuk menyara keluarga, ICRC berkata penduduk mungkin terpaksa berdepan pilihan yang sukar, termasuk berhijrah di sepanjang laluan berbahaya atau menyertai kumpulan bersenjata.

ICRC berkata, keganasan berada di atas trajektori membimbangkan kerana kumpulan penyelidikan Armed Conflict Location and Event Data Project mendapati bahawa Mali telah mencatat sejumlah 1,686 kematian pada 2018 berbanding 949 kes pada 2017 dan 320 pada 2016.

Lokasi panas juga turut merebak dari utara ke bahagian tengah Mali serta sepanjang sempadan antara Niger, Mali dan Burkina Faso, katanya.

Maurer berkata, penduduk di Mali dan Niger sudah menyedari bahawa kekurangan sumber telah memburukkan lagi keganasan antara golongan pastoral dan petani.

“Terdapat banyak tenaga yang diperlukan untuk mencari penyelesaian namun kita perlu membantu penduduk memperkukuh keupayaan mereka dalam menangani kesan perubahan iklim dan keganasan kerana gabungan eksplosif ini tidak akan hilang dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama