Gara-gara batik, netizen Indonesia 'serang' China

Menerusi laporan Xinhua, batik didakwa sebagai seni yang diamalkan oleh kumpulan etnik minoriti di Guizhou dan Yunaan. - Foto Agensi
Menerusi laporan Xinhua, batik didakwa sebagai seni yang diamalkan oleh kumpulan etnik minoriti di Guizhou dan Yunaan. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Segelintir pengguna media sosial di Indonesia berang gara-gara agensi berita Xinhua mendakwa batik sebagai seni tradisional China.

Menerusi tweet dimuat naik pada 12 Julai lalu, Xinhua melaporkan batik sebagai satu seni biasa dalam kalangan kumpulan etnik minoriti di Guizhou dan Yunaan serta telah berkembang pada era moden.

Tweet tersebut turut disertakan dengan hashtag #AmazingChina dan klip video berdurasi 49 saat itu juga menunjukkan cara pemprosesan batik.

"Seni menggunakan teknik terapan lilin itu memerlukan kepakaran yang tinggi dan memakan masa. Ia turut digelar sebagai batik, perkataan yang berasal dari Indonesia yang melibatkan proses sama."

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal pakar di Indonesia.

"Batik adalah istilah khas untuk Indonesia dan tiada perkataan atau sebutan batik dalam dialek Cina. Selain itu, canting itu sendiri ialah alat khas di Indonesia. Corak yang dihasilkan membawa maksud tertentu dan dipakai ketika acara khas termasuk perkahwinan.

"Hal itu yang menjadikan batik sebagai warisan budaya Indonesia," kata penyelidik hal ehwal Indonesia-China, Agni Malagina.

Susulan tweet itu, pengguna media sosial di Jakarta bertindak 'menyerang' China tentang asal usul batik dan ada yang menjelaskan ia adalah hasil gabungan daripada perkataan 'amba' dan 'tik' yang bermaksud menanda atau melukis titik.

Artikel Berkaitan:

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Kiki menggesa China supaya tidak sewenang-wenangnya meniru dan mendakwa warisan negara lain sebagai hak mereka.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan cuba meredakan ketegangan itu dengan menyatakan batik sebagai warisan nenek moyang dan sangat berharga dalam kehidupan seharian penduduk di negara itu.

Pada 2 Oktober 2009 yang turut disambut sebagai Hari Batik Kebangsaan, Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik PBB (UNESCO) telah mengiktiraf batik Indonesia sebagai Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara. - Agensi