Kluster Restoran Kuala Lumpur antara kluster baharu dikesan

Kluster Restoran Kuala Lumpur antara yang dikesan di sebuah restoran di Brickfields. - Foto 123RF
Kluster Restoran Kuala Lumpur antara yang dikesan di sebuah restoran di Brickfields. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tiga kluster baharu penularan koronavirus (Covid-19) dikesan di Sepang, Selangor; Brickfields, di sini dan Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, setakat ini terdapat dua kes positif dalam kalangan bukan warganegara direkodkan daripada kluster ‘Rumah Kongsi Sepang’ yang dikesan di sebuah tapak pembinaan dengan 96 pekerja disaring sehingga 12 tengah hari tadi.

“Mereka terdiri daripada sembilan warganegara Malaysia dan 87 bukan warganegara. Daripada jumlah saringan ini, 96 orang telah disampel dan keputusan persampelan setakat ini adalah dua positif manakala 94 lagi negatif.

“Kluster ini melibatkan seorang warga Indonesia yang merupakan kes indeks kluster ini dan seorang warga Bangladesh yang merupakan kontak rapat kes dilaporkan hari ini. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung kluster kedua iaitu kluster ‘Restoran Kuala Lumpur’ yang dikesan di sebuah restoran di Brickfields, Dr Noor Hisham berkata, setakat 12 tengah hari tadi, 250 orang melibatkan 14 pekerja restoran dan 236 pelanggan disaring.

Beliau berkata, ia adalah hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan dua kes positif melibatkan dua warga India dikesan dalam kluster itu, manakala punca jangkitan kluster masih dalam siasatan.

Mengenai kluster ketiga iaitu ‘Jeti Kuching’ di Sarawak, Dr Noor Hisham berkata, seramai 25 nelayan disaring setakat 12 tengah hari tadi, dan dua warganegara Indonesia dikesan positif Covid-19.

“Keputusan persampelan bagi 23 yang lain adalah negatif dan punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Lima kes di Sarawak membabitkan satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8743), satu kes saringan kendiri, satu kes saringan sebelum kembali bekerja dan dua kes saringan rawak di lapangan iaitu di pintu masuk utama Sarawak.

Selain itu di Selangor, satu kes saringan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, satu kes di Sabah membabitkan kes saringan prosedur di Hospital Queen Elizabeth 2 dan satu kes di Johor melibatkan kes ‘Brought In Dead (BID)’. Kes ini juga merupakan kes kematian ke-123 dilaporkan hari ini,” katanya.

Sementara itu, bagi tiga kes jangkitan dalam negara membabitkan bukan warganegara, masing-masing satu kes melibatkan kluster baharu iaitu Kluster Restoran Kuala Lumpur, Kluster Rumah Kongsi Sepang, Selangor dan Kluster Jeti Kuching, Sarawak.

Mengenai kes kematian ke-123 (kes ke-8770), Dr Noor Hisham berkata, ia melibatkan lelaki warganegara berumur 72 tahun, dan mempunyai penyakit darah tinggi kronik serta strok.

“Beliau merupakan penghuni di pusat jagaan warga emas dan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai. Beliau dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, (Kluang) Johor pada 17 Julai dan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan.

Beliau disahkan positif Covid-19 dan meninggal dunia pada 17 Julai, jam 12.51 malam. Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat tujuh kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada wad adalah 8,553 kes, manakala hanya dua kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan. - Bernama