X

Kindly register in order to view this article
!

APMM Terengganu sita tujuh bot, tahan 83 nelayan Vietnam

Tujuh buah bot nelayan Vietnam yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dibawa ke pengkalan Maritim Kuala Terengganu hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu merampas tujuh bot nelayan Vietnam berserta 83 orang termasuk tekong dan awak-awak berusia antara 16 hingga 68 tahun dalam Ops Kuda Laut.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, nelayan asing yang menceroboh perairan negara tanpa kebenaran itu ditahan di dalam operasi selama tiga hari bermula Khamis lepas di sekitar lokasi antara 117 hingga 135 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Beliau berkata, nilai rampasan termasuk tujuh bot, lima tan hasil tangkapan, 10,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM10.5 juta.

"Semua nelayan Vietnam telah dibawa menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) dan kita jangka akan dapat keputusan ujian sekitar jam 5 petang hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli (berdiri, tiga dari kanan) memeriksa sebahagian nelayan warga Vietnam yang ditahan di Ibu Pejabat APMM Terengganu hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli (berdiri, tiga dari kanan) memeriksa sebahagian nelayan warga Vietnam yang ditahan di Ibu Pejabat APMM Terengganu hari ini. - Foto Bernama

"Selain itu dalam perjalanan mengiringi sebuah bot ke jeti maritim, berlaku satu insiden pergaduhan antara dua awak-awak yang berakhir dengan seorang daripadanya cedera parah kerana ditikam. Bagaimanapun mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya pada sidang akhbar di Jeti Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan awal juga mendapati dua daripada awak-awak terbabit pernah ditangkap dan dipenjarakan di negara ini atas kesalahan sama.

"Mereka (awak-awak) tidak serik untuk kembali semula menangkap ikan secara haram di sini kerana hukuman yang dikenakan hanya enam bulan. Selepas menjalani hukuman, mereka akan datang semula dan menjadi pesalah tegar," katanya.

Terdahulu, APMM melupuskan dua bot nelayan Vietnam yang telah dilucutkan hak untuk dijadikan tukun di Pulau Redang.

Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan, sebanyak 153 bot nelayan Vietnam telah dilupuskan APMM Terengganu dalam tempoh 10 tahun.

Menurut beliau, proses pelupusan itu adalah isyarat ketegasan kerajaan dalam memerangi ancaman nelayan asing sekali gus memastikan kedaulatan serta sumber perikanan negara terus terpelihara.

"Selain itu secara tidak langsung (pelupusan bot sebagai tukun) ia juga memberi pelbagai manfaat lain iaitu memperkayakan khazanah hidupan laut dan menggalakkan pelancongan maritim.

"Kita akan meneruskan usaha ini dengan kerjasama daripada pihak lain seperti Jabatan Perikanan, Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara yang sentiasa memberi sokongan padu kepada APMM," katanya selepas menyaksikan proses pelupusan bot di perairan Pulau Redang hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!