Banjir kedua terburuk sejak 2011

Penduduk menyelamatkan barang peribadi setelah rumah mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir di Dengkil pagi tadi.
Penduduk menyelamatkan barang peribadi setelah rumah mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir di Dengkil pagi tadi.
A
A
A

DENGKIL - Kejadian banjir melanda kawasan Dengkil awal pagi tadi adalah yang kedua terburuk sejak tahun 2011.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan berlaku limpahan air dari Sungai Kajang ke Sungai Langat dan ban pecah di Kampung Revolusi Hijau.

Kejadian banjir itu katanya, menjejaskan lima buah kampung iaitu Kampung Cenderai, Kampung Revolusi Hijau, Kampung Sri Tanjung, Kampung Semarang, Kampung Jenderam, Kampung Sungai Melut dan Kampung Jenderam Hilir.

"Kawasan taman perumahan yang terlibat adalah Taman Kristal, Taman Permata, Taman Desa, Taman Desa Utama Jenderam, Taman Jenderam Indah, Taman Mas, Taman Baiduri dan Taman Ametis," katanya.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membantu mengeluarkan mangsa yang terlibat.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membantu mengeluarkan mangsa yang terlibat.

Adhif Syan berkata, dianggarkan lebih 500 penduduk di sini terjejas dalam kejadian tersebut.

"Buat masa ini, lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama Dengkil dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil.

"Kesemua mangsa banjir juga sudah menerima bantuan termasuk makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Sepang, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa agensi lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang mangsa, Azli Zakaria, 34, berkata, ketika kejadian air sangat laju dan dia sempat menyelamatkan dokumen peribadi sebelum diarah berpindah.

Antara rumah penduduk yang terlibat dalam kejadian banjir di Dengkil pagi tadi.
Antara rumah penduduk yang terlibat dalam kejadian banjir di Dengkil pagi tadi.

"Ketika itu, saya tidak fikir apa... hanya fikir hendak selamatkan anak-anak dan isteri sahaja," katanya yang memberitahu air mula naik di bahagian dapur rumahnya.

Akmam Mustangin, 48, pula berkata, sebelum ini rumahnya pernah dilanda banjir namun kejadian kali ini paling teruk.

"Air naik di bahagian dapur sahaja kerana bahagian depan rumah saya agak tinggi," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kajang dan Hulu Langat dinaiki air.

Beberapa kawasan di Hulu Selangor, Gombak dan Sepang turut mengalami banjir kilat.