Selidik sebelum bercakap isu mansuh jawatan pengerusi

Gambar kecil: Akklil Aizat
Gambar kecil: Akklil Aizat
A
A
A

SHAH ALAM – Pemimpin, ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) disarankan supaya menyelidik kesahihan apa-apa isu sebelum membuat sebarang kenyataan termasuk dalam hal pemansuhan jawatan pengerusi parti itu.

Ketua Armada Port Dickson, Akklil Aizat Othman berkata, setiap orang sepatutnya menyelidik, mendapatkan kesahihan dan kebenaran sesuatu maklumat sebelum memperkatakan sesuatu isu agar ia tidak membangkitkan perdebatan tidak berfaedah.

Menurutnya, jika seseorang itu membuat kenyataan berasaskan maklumat cakap-cakap ataupun khabar angin hanya akan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan ahli parti.

“Saya ingin merujuk kepada beberapa kenyataan daripada pemimpin Bersatu dan Armada berkaitan desas-desus kepimpinan parti mahu menghapuskan jawatan Pengerusi Bersatu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan Pengerusi Bersatu mungkin digugurkan

Jawatan Pengerusi Bersatu bukan bersifat eksekutif

Bersatu tak pernah bincang 'hapuskan' jawatan pengerusi

"Isu tersebut setakat ini hanya bersifat khabar angin dan apabila disebarkan tanpa kesahihan telah mencetuskan suasana berbalas kenyataan daripada pelbagai pihak dalam parti hingga situasi menjadi ‘panas’.

Artikel Berkaitan:

“Sebaiknya semua pihak perlu bertabayun sebelum bercakap dalam segenap isu. Jangan mudah percaya dan sebarkan berita tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akklil Aizat berkata demikian mengulas mengenai desas-desus kemungkinan perwakilan mengemukakan usul menggugurkan jawatan pengerusi daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada perhimpunan agung tahunan parti itu yang berlangsung pada September ini.

Sementara itu, calon Exco Armada Nasional, Mohd Afiq Nazmi Azharin berkata, segala isu yang membabitkan Bersatu perlu ditangani dengan bijak agar tidak menjejaskan parti dan menggugat perpaduan dalam kalangan ahli.

Mohd Afiq Nazmi
Mohd Afiq Nazmi

Menurutnya, tidak semua isu boleh diperdebatkan secara terbuka dan mungkin ada perkara yang perlu diselesaikan secara dalaman agar tidak terbuka pekung untuk tatapan umum.

“Semua pemimpin dan ahli parti perlu bijak, berhati-hati dalam memperkatakan isu, biarpun perkara itu membabitkan isu di peringkat cawangan. Jika perkara sensitif perlu dibincangkan secara tertutup agar tidak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan ahli serta orang luar.

“Kita mempunyai pelbagai saluran parti yang boleh digunakan untuk menyuarakan sesuatu isu. Jangan terus buat kenyataan terbuka apatah lagi dalam perkara-perkara yang tidak sahih. Kita kena jaga kredibiliti parti kita,” katanya.