Bayi dicampak atas bumbung rumah kini kritikal

Laporan Sinar Harian berkaitan insiden penemuan bayi berkenaan malam tadi.
Laporan Sinar Harian berkaitan insiden penemuan bayi berkenaan malam tadi.
A
A
A

IPOH - Bayi lelaki yang ditemukan atas bumbung sebuah rumah di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini semalam dilaporkan berada dalam keadaan kritikal hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, bayi yang baru lahir itu dipercayai dicampak ke atas bumbung rumah berkenaan dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dengan bantuan alat pernafasan.

Menurutnya, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai ibu kepada bayi berkenaan juga dirawat di hospital sama kerana mengalami pendarahan serta uri tertinggal dalam rahim.

“Siasatan di tempat kejadian menemui kesan darah pada cadar dan gril tingkap bilik remaja berkenaan. Dia dipercayai melahirkan bayi itu dalam tandas dan menggunting tali pusat bayi itu sendiri.

“Ketika soal siasat, remaja itu pada awalnya tidak mengaku itu adalah anaknya tetapi setelah didesak akhirnya dia mengakuinya dan mendakwa telah hamil selepas terlanjur dengan teman lelakinya,” katanya di sini hari ini.

A Asmadi berkata, keluarga suspek bagaimanapun tidak mengetahui remaja itu hamil meskipun ternampak perubahan pada tubuhnya.

“Ibu remaja itu sangka anaknya kelihatan berisi sedikit kerana duduk lama di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tambahan pula mereka baru berpindah dari Rawang, Selangor kira-kira sebulan lalu.

“Ketika kejadian, ibu remaja itu tiada di rumah kerana pergi ke pasar, manakala bapanya bekerja membawa lori," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, saksi utama ketika disoal siasat pula mendakwa terdengar bunyi dentuman di atas bumbung rumah sebelum menemui bayi yang dipercayai baru lahir dalam tempoh 24 jam.

"Saksi itu menjenguk melalui tingkap bilik atas rumahnya dan ternampak bayi di atas bumbung sebelum memaklumkan kepada isterinya, seterusnya menghubungi polis.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.