DBKL tutup pusat hiburan, rumah urut langgar SOP PKPP

Kondom yang ditemui di sebuah rumah urut sewaktu operasi khas pemantauan pematuhan SOP PKPP oleh DBKL.
Kondom yang ditemui di sebuah rumah urut sewaktu operasi khas pemantauan pematuhan SOP PKPP oleh DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pusat hiburan dan tiga rumah urut diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Unit Media DBKL menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata, premis terletak di Mont Kiara, Bukit Bintang serta Danau Kota itu diperiksa menerusi satu operasi pematuhan SOP PKPP yang dijalankan baru-baru ini yang turut melibatkan petugas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut kenyataan itu, dua pusat hiburan berkenaan dikesan melanggar SOP ditetapkan apabila menjalankan aktiviti hiburan selain pelanggannya didapati gagal mematuhi penjarakan sosial.

"Tiga rumah urut diarah tutup selepas dua daripadanya beroperasi melebihi jam 12 malam selain disyaki turut menjalankan aktiviti pelacuran.

"Seramai 17 pekerja warga asing di dua premis itu disyaki pelacur. Pemeriksaan lanjut menemukan ubat kuat dan kondom di premis tersebut.

Salah satu premis yang ditutup selepas gagal patuhi SOP PKPP.
Salah satu premis yang ditutup selepas gagal patuhi SOP PKPP.

"Sementara satu lagi premis didapati menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran sebagai tukang urut," katanya.

DBKL berkata, penutupan kesemua premis dilakukan di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Artikel Berkaitan:

"Satu notis kesalahan serta tawaran kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 turut dikeluarkan ke atas satu premis yang menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.

"Orang awam boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800 883255 jika terdapat kegiatan atau aktiviti yang meragukan," katanya.