Tubuh pasukan bincang kewajaran sekolah satu aliran

Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan dicadangkan menubuhkan satu pasukan khas bagi melihat kewajaran mewujudkan sekolah satu aliran selari dengan semangat yang terkandung dalam Penyata Razak 1956.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, ini kerana masih ada pihak yang mempertikaikan sistem sekolah satu aliran dan pada masa sama mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

"iGuru berpendapat isu perpaduan kaum perlu menjadi keutamaan melalui dasar pendidikan yang dapat menyatukan semua kaum melalui satu bahasa, satu kurikulum dan satu sistem peperiksaan tanpa meminggirkan bahasa ibunda kaum masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya juga konsisten menolak usaha pengiktirafan UEC yang boleh membawa dualisme pendidikan di negara ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan diminta tidak tunduk dengan mana-mana desakan untuk mengiktiraf UEC.

"Mengiktiraf UEC bererti kerajaan mengiktiraf sistem peperiksaan yang dibuat oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan ini membuka ruang kepada dualisme pendidikan dan peperiksaan.

"Kewajaran tidak mengiktiraf UEC ialah ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu tidak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulumnya yang tidak menepati aspirasi nasional terutama subjek sejarah," katanya.

Mohd Azizee berkata, jika pengiktirafan diberi, ia akan menjadikan sistem pendidikan negara menjurus kepada polarisasi kaum dan pada masa yang sama usaha memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama akan terjejas.

Artikel Berkaitan:

Semalam media melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf UEC dalam pertemuan beliau bersama pimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong), Khamis lalu.

Sebaliknya beliau menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM tidak pernah nyatakan akan iktiraf UEC: PMO