MMA sokong kuarantin di pusat luar

Dr N Ganabaskaran
Dr N Ganabaskaran
A
A
A

PETALING JAYA - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong rancangan kuarantin mandatori di pusat luar bagi warganegara dan warga asing dari kawasan berisiko tinggi yang dibenarkan masuk ke negara ini.

Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata, cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk jika kediaman individu terbabit tidak sesuai untuk pengasingan diri itu disifatkan sebagai langkah terbaik mengurangkan risiko jangkitan ketika kuarantin di rumah.

Menurutnya, sejak 10 Jun lalu, semua individu yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin 14 hari di rumah di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

"Terdapat laporan yang mengatakan pihak berkuasa berdepan cabaran untuk individu yang menjalani kuarantin di rumah melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19) kedua pada hari ke-13 kuarantin mereka.

“Dengan langkah ini (kuarantin di pusat luar) mungkin dapat menghalang kejadian seperti ini,” katanya memetik laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) di sini hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara individu yang menggesa kajian ke atas langkah kuarantin rumah atas alasan banyak kes Covid-19 melibatkan rakyat Malaysia pulang dari luar negara.

Menerusi Facebooknya, Najib berkata, beliau amat tidak senang dengan langkah kerajaan terus membenarkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin di rumah serta mengenakan denda kompaun cuma RM1,000 kepada mereka yang ingkar kuarantin.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib menyifatkan kuarantin di rumah memerlukan kerjasama kes disyaki dan ia belum berjaya sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kuarantin rumah perlu dipandang serius, tetapi sikap puas hati dan kurangnya rasa bimbang mula berlaku, namun kuarantin mandatori di pusat luar perlu dijadikan langkah pilihan berbanding dasar untuk semua.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat pulang dari luar negara kuarantin di rumah mulai 10 Jun