JAS patahkan 27 cubaan penghantaran bahan buangan berbahaya

Tuan Ibrahim menunjukkan bahan buangan debu EAF dalam sebuah kontena dari Romania dan seharusnya dihantar ke Indonesia, di PTP, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.
Tuan Ibrahim menunjukkan bahan buangan debu EAF dalam sebuah kontena dari Romania dan seharusnya dihantar ke Indonesia, di PTP, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengesan dan mematahkan 27 kes pengimportan bahan buangan terjadual secara haram di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini dari Januari hingga 30 Jun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kes tersebut melibatkan bermacam-macam bahan buangan termasuk toksik yang berbahaya dari pelbagai negara.

"Tindakan yang kita ambil adalah sebahagiannya sudah kita hantar semula kontena terbabit ke negara asal manakala selebihnya dalam proses untuk dihantar semula ke negara asal," katanya dalam sidang akhbar di Wisma PTP, Gelang Patah hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang serta Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar.

Tuan Ibrahim berkata, PTP adalah tempat transit namun sebarang pergerakan merentasi sempadan untuk pembuangan toksik dan bahan berbahaya hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport dan negara ini.

Katanya, kerjasama peringkat antarabangsa dalam menangani dan membanteras penghantaran buangan toksik serta berbahaya secara haram ke dalam negara akan diteruskan JAS.

Bagi bahan buangan terjadual dalam negara, beliau berkata, semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual perlu menguruskannya dengan sempurna.

Jelasnya, prosedur tersebut melibatkan notifikasi, maklumat ciri buangan, pensetoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan pembuangan terjadual.

Artikel Berkaitan:

Semua itu katanya, perlu direkodkan melalui sistem dalam talian iaitu Electronic Scheduled Waste Information System (eSWIS) selaras dengan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Saya ingin menggesa semua industri dan punca yang menghasilkan buangan berjadual untuk mengguna pakai eSWIS sepenuhnya.

"Tindakan tegas akan diambil oleh JAS ke atas pihak industri yang gagal berbuat demikian. Pihak kementerian tidak berkompromi dengan penjenayah alam sekitar," katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk menjadi mata dan telinga JAS serta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https:/eaduan.doe.gov.my.