JAS kesan 110 kontena mengandungi toksik berbahaya

Tuan Ibrahim memeriksa bungkusan mengandungi bahan toksik berbahaya dalam sebuah kontena di PTP, Gelang Patah, Islandar Puteri hari ini.
Tuan Ibrahim memeriksa bungkusan mengandungi bahan toksik berbahaya dalam sebuah kontena di PTP, Gelang Patah, Islandar Puteri hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengesan 110 kontena dengan 1,864 bungkusan yang mengandungi bahan buangan debu electric arc furnace (EAF) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah di sini pada 15 Jun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap satu bungkusan besar berkenaan seberat satu tan metrik (tm) dan keseluruhannya berjumlah 1,864 tm.

"Buangan EAF ini diklasifikasikan sebagai bahan buangan toksik dan berbahaya di bawah Konvensyen Besel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"EAF mengandungi logam berat yang amat berbahaya seperti zinc (Zn), ferum (Fe), chromium (Cr), cadmium (Cd) dan plumbum.

"Sekiranya tidak diuruskan dan dikendalikan mengikut prosedur akan menyebabkan kesan buruk bukan sahaja kepada alam sekitar malah boleh menjejaskan kesihatan manusia," katanya pada sidang akhbar di Wisma PTP hari ini.

Tuan Ibrahim memeriksa sebuah kontena yang mengandungi bungkusan bahan toksik berbahaya di PTP, Gelang Patah, Islandar Puteri hari ini.
Tuan Ibrahim memeriksa sebuah kontena yang mengandungi bungkusan bahan toksik berbahaya di PTP, Gelang Patah, Islandar Puteri hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang serta Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar.

Tuan Ibrahim berkata, kontena tersebut berasal dari Romania dan sedang transit di PTP sebelum dihantar ke negara pengimport iaitu Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak dari Romania itu memaklumkan akan melakukan transit di PTP pada 3 Jun lalu dan maklumat asal yang diperoleh dalam borang deklarasi menjelaskan bahan yang dibawa itu adalah zinc concentrate.

Bagaimanapun katanya, apabila pemeriksaan dilakukan didapati hanya 30 peratus zinc concentrate terdapat dalam bahan buangan tersebut manakala selebihnya bahan buangan lain yang berbahaya.

Menurutnya, bahan buangan tersebut adalah yang paling besar pernah dikesan dalam sejarah negara dan pihaknya sudah menghubungi pihak terbabit di Romania.

Beliau berkata, bahan tersebut akan dihantar semula ke Romania dalam masa terdekat dan kos penghantarannya akan ditanggung pihak insurans.

"Kita juga sudahpun menghubungi pihak polis antarabangsa (Interpool) untuk mengesan dalang di sebalik kegiatan ini.

"JAS selaku Pihak Berkuasa Konvensyen Basel tidak pernah memberikan sebarang kelulusan dan menerima notifikasi daripada pihak pengeksport untuk buangan tersebut transit di Malaysia," katanya.