X

Kindly register in order to view this article
!

Batu kristal Gunung Keriang berharga RM50,000

Mahadi menunjukkan keunikan bentuk-betuk kristal yang berada di dalam batu seberat 1 tan yang ditemuinya pada 2011 di Gunung Keriang, Alor Setar.
A
A

ALOR SETAR - Batu kristal seberat 1 tan yang ditemukan di Gunung Keriang ditawarkan pada harga RM50,000 kerana kesukaran proses mengorek batu di gunung berkenaan untuk mengeluarkan galian itu.

Pencari batu kristal, Mahadi Mat Akhir, 54, berkata, beliau pernah ditawarkan sebanyak RM10,000 tetapi menolak kerana menganggap batu yang ditemui lima tahun lalu itu mempunyai nilai yang tinggi.

Menurutnya, beliau mengambil tempoh lima tahun untuk mencari batu tersebut sebelum proses mengorek batu-batu di dalam Gunung Keriang yang gelap itu.

"Saya melakukan proses mengorek setiap hari dan kerja ini sangat menuntut kesabaran yang tinggi. Gua yang dikorek berbentuk 'zig zag' bagi memastikan tidak berlakunya runtuhan pada kawasan yang digali. Saya mengambil masa kira-kira masa dua jam setiap untuk mendapatkan batu kristal ini.

Batu kristal 1 tan mula dipamerkan di hadapan kedai cenderamata Mahadi sejak tahun 2013.
Batu kristal 1 tan mula dipamerkan di hadapan kedai cenderamata Mahadi sejak tahun 2013.

"Seorang usahawan pernah menawarkan harga sebanyak RM10,000 tetapi saya tetap tidak akan menjualnya pada harga itu," katanya ketika ditemui di kedai cenderamatanya di Gunung Keriang baru-baru ini.

Bapa kepada lima orang anak yang turut digelar pemburu batu kristal mempamerkan galian itu di hadapan kedai cenderamatanya sejak tahun 2013 dan percaya akan menemui pembelinya.

"Batu setinggi 1 meter ini ditemui pada 2011 dan saya mengambil masa 20 hari untuk mengeluarkannya dari gua tersebut dengan menggunakan peralatan khas.

"Selepas dua tahun menyimpannya di rumah, saya mengambil keputusan untuk menjualnya dengan meletakkan di kedai cenderamata saya di kaki Gunung Keriang Alor Setar," katanya.

Mahadi berkata, batu kristal ini sangat terkenal dan digemari oleh kaum Cina kerana dipercayai mempunyai aura baik dan diletakkan di rumah atau premis perniagaan.

Setiap hari Mahadi akan memeriksa dan membersihkan batu kristal 1 tan yang berada di hadapan di kedai cederamatanya di Gunung Keriang, Alor Setar.
Setiap hari Mahadi akan memeriksa dan membersihkan batu kristal 1 tan yang berada di hadapan di kedai cederamatanya di Gunung Keriang, Alor Setar.

Katanya, selain menjual batu kristal yang mencecah puluhan ribu ringgit, kedainya juga turut menjual pelbagai jenis batu kristal bermula dari RM1 membabitkan tiga peringkat iaitu bunga batu, bunga kristal dan batu kristal.

"Saya mencari dan menjual batu-batu kristal ini sejak 23 tahun lalu. Inilah sumber pendapatan saya menyara keluarga sehingga sekarang namun kini kudrat sudah semakin kurang dan saya banyak mendapatkan bekalan dari pencari batu kristal yang lain.

"Ramai yang melihat seolah-olah pekerjaan ini mudah tetapi sebenarnya kami mempertaruhkan nyawa setiap kali pergi mencarinya. Jika tersilap langkah, nyawa kami boleh hilang," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!