ECRL perlu diteruskan seperti cadangan asal

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu diteruskan mengikut pelan perancangan asal kerana boleh membawa manfaat kepada rakyat dan keuntungan untuk jangka masa panjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ECRL juga dapat meningkatkan penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan yang sudah mempunyai Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Menurutnya, pelaksanaan ERCL yang dirancang di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor bakal memberi manfaat kepada rakyat di pantai timur Semenanjung.

"Kita sudah menulis surat kepada Perdana Menteri pada Mac lalu supaya dapat mengkaji semula pelaksanaan asal ECRL yang benar-benar lebih menguntungkan untuk jangka masa yang lebih panjang.

"Projek sudah berada pada tahap kira-kira 14 peratus di Pahang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, jajaran ECRL melalui Gombak akan menghasilkan integrasi dengan sistem aliran Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT.

"Tapi apabila kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan bahawa projek ini akan dikurangkan kos dengan perubahan yang sedikit, ia adalah satu perkara yang amat merugikan kerana kita sudah mengambil langkah untuk menyediakan tanah bagi melengkapkan projek ini," katanya.

"Tahun 2019, sebanyak 1,394.4 hektar tanah merangkumi 232.5km jarak perjalanan yang merentasi Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan sudah pun dalam proses untuk diambil alih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan adanya ECRL mengikut pelan asal, ia akan membawa kembali peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang.

"Sudah pasti ledakan ekonomi akan berlaku sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini apabila siapnya infrastruktur ini," katanya.