Makin berkarat, makin tinggi nilainya...

Zakaria (tiga dari kiri) bersama ahli Kelab Basikal Tua Pasir Puteh menunjukkan koleksi basikal tua yang dimiliki mereka.
Zakaria (tiga dari kiri) bersama ahli Kelab Basikal Tua Pasir Puteh menunjukkan koleksi basikal tua yang dimiliki mereka.
A
A
A

PASIR PUTEH - Bagi sesetengah orang, karat pada kenderaan dianggap sebagai 'kecacatan' dan perlu diubah supaya nampak sempurna.

Berlainan pula bagi peminat basikal tua, karat itu dianggap sebagai satu 'aset' dan mempunyai nilai tersendiri.

Perkara tersebut diakui oleh Pengerusi Kelab Basikal Tua Pasir Puteh, Zakaria Che Osman yang menganggapnya sebagai mahal dari sudut kaca mata pencinta kenderaan klasik itu.

"Makin berkarat... makin mahal dan tinggi nilainya bagi kami pencinta basikal tua. Banyak karat lagi bagus bagi kami, asalkan basikal masih dapat dikayuh dengan baik.

"Nampak buruk tapi harga bagi sebuah basikal tua boleh mencecah sehingga RM9,000 dan koleksi yang dimiliki kami sekarang bernilai RM4,000 setiap satu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, menyedari nilai 'tersembunyi' yang terdapat pada kenderaan itu beliau berhasrat mengumpulkan pemilik basikal tua di sekitar Pasir Puteh.

Katanya, setakat ini kelab itu berjaya mengumpulkan seramai 15 orang pemilik dan peminat basikal tua.

"Antara koleksi basikal yang ada dalam simpanan ahli kami setakat ini ialah Raleigh, BSA, Hercules.

Artikel Berkaitan:

"Menariknya, ada sebuah basikal tua milik ahli sudah menjangkau usia 100 tahun dan kebanyakan koleksi kami dari England," katanya.

Zakaria berkata, kelab itu akan berusaha mengumpulkan lebih ramai peminat basikal tua di jajahan Pasir Puteh.