Tiada peruntukan pecat ahli serta-merta dalam Perlembagaan Bersatu

Entri Saiful Ambar menempelak kenyataan Dr Muhammad Faiz berhubung tindakan perlucutan keahlian lebih separuh ahli Bersatu oleh Lembaga Disiplin parti yang dijangka diumumkan Selasa depan.
Entri Saiful Ambar menempelak kenyataan Dr Muhammad Faiz berhubung tindakan perlucutan keahlian lebih separuh ahli Bersatu oleh Lembaga Disiplin parti yang dijangka diumumkan Selasa depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pindaan 2018 yang membolehkan Lembaga Disiplin parti memecat ahli serta-merta tanpa mengikut proses peraturan ditetapkan (due process).

Penggubal draf pindaan Perlembagaan Bersatu, Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata, kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mendedahkan ratusan senarai nama keahlian parti yang terlucut serta-merta oleh Lembaga Disiplin Bersatu akan diumumkan pada minggu depan itu sebagai tindakan bacul dan tidak tepat.

Menurutnya, berdasarkan Fasal 23 Perlembagaan Bersatu pindaan tahun 2019, setiap aduan bertulis berhubung salah laku mana-mana ahli atau perlanggaran peruntukan Perlembagaan parti hendaklah dirujuk kepada Lembaga Disiplin untuk diambil tindakan.

"Kemudian, Lembaga Disiplin parti perlu memutuskan sama ada ahli yang diadukan itu akan dibebaskan, diberi amaran, digantung keahlian, dilucutkan jawatan atau dipecat parti.

"Kesemua itu boleh dilakukan dengan syarat notis aduan terhadap salah laku ahli dihantar terlebih dahulu kepada tertuduh bagi membolehkan jawapan balas pertuduhan dikemukakan.

"Berbeza dengan perlembagaan parti lain, dalam Bersatu segala perkara tindakan tatatertib mesti melalui Lembaga Disiplin parti terlebih dahulu dan tidak boleh diputuskan dalam mesyuarat Ahli MPT parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Faiz bahawa lebih separuh daripada keseluruhan 404 calon yang bertanding pemilihan Bersatu kini berdepan pelucutan keahlian serta-merta pada minggu hadapan.

Muhammad Faiz berkata, tindakan tegas itu diambil kerana mereka didapati terlibat dengan kumpulan ‘Blackout’ yang merupakan gerakan menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengumuman itu dijangka dibuat Lembaga Disiplin Bersatu selepas mesyuarat MPT Bersatu pada Selasa ini, sekali dengan keputusan perlucutan keahlian secara automatik ratusan ahli parti itu di peringkat akar umbi.

Saiful Ambar yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Biro Perundangan Bersatu berkata, sekiranya tindakan melucutkan keahlian parti benar-benar dilakukan Lembaga Disiplin parti pada Selasa ini, ahli-ahli terlibat masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Disiplin parti dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis perlucutan keahlian.

Menurutnya, mereka mesti diberi ruang seluas-luasnya untuk membuat rayuan kerana perkara itu terkandung dalam perlembagaan parti.

"Selasa ini, kalau berlaku tindakan perlucutan keahlian serta-merta sebagaimana didakwa (Muhammad Faiz), keputusan itu boleh dianggap tidak sah dan melanggar perlembagaan parti sendiri.

"Tindakan itu juga boleh dianggap satu tindakan bacul kerana seolah-olah dilihat cuba mengukuhkan kedudukan pemimpin yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Saiful turut mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin parti yang menubuhkan satu jawatankuasa lain kononnya membantu menyediakan laporan disiplin terhadap ahli-ahli yang dituduh melanggar Perlembagaan parti.

"Mengapa satu jawatankuasa lain (Jawatankuasa Khas Sementara Tindakan Disiplin parti) ditubuhkan atas alasan membantu Lembaga Disiplin parti, sedangkan kedudukan Lembaga Disiplin sepatutnya bebas?

"Kita akan tengok dahulu apa terjadi Selasa ini, sekiranya benar terjadi, kita akan memberi respons tindakan susulan yang akan diambil," katanya.